
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak di bawah pucuk pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terus berusaha memperkasa pembangunan rakyat, khususnya di kawasan pesisir dan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, antara inisiatif yang telah diperkenalkan termasuk Kenyalang Gold Card (KGC), bantuan perubatan kepada warga emas, pendidikan percuma untuk pelajar universiti, bantuan kelahiran bayi dan ibu bersalin, serta Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
“Sepanjang lawatan Pra Gawai di DUN Meradong, saya mendengar sendiri pelbagai permohonan dan keperluan rakyat rumah panjang.
“Saya turut melawat beberapa pesakit terlantar di rumah dan menasihatkan keluarga pesakit agar membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Meradong untuk mendapatkan bantuan bulanan am,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menjalankan lawatan Pra Gawai hari ketujuh bersama rombongan SUPP Cawangan Bintangor ke beberapa buah rumah panjang di Sungai Meradong pada petang semalam.
Katanya, dengan adanya kelulusan bantuan JKM, sekurang-kurangnya akan meringankan beban keluarga pesakit.
“Selain itu, terdapat juga beberapa permohonan subsidi bekalan elektrik dan beberapa permohonan Program Pinjaman Rumah Panjang (PPRP) yang masih belum mendapat kelulusan daripada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC),” katanya yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor.
Dalam pada itu, Koung Hiing berharap penduduk rumah panjang sentiasa mengekalkan keunikan perpaduan dan keharmonian.
“Sambutan perayaan Hari Gawai yang bakal tiba turut dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
“Kekalkan adat kunjung-mengunjungi antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek