SIBU: Pihak berkuasa diminta mempertimbangkan semula tawaran UPUonline untuk Clement Lee Wei Jie, pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang bercita-cita menjadi doktor.
Pengerusi Biro Pendidikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Ding Kuong Hiing, berkata tindakan itu untuk memastikan pelajar berpotensi seperti Clement mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian.
Katanya, amat jarang untuk menemui pelajar yang memperoleh 4A penuh dalam STPM dengan cita-cita untuk menjadi doktor.
“Saya rasa pelajar ini seharusnya diberikan kebebasan untuk memilih apa yang mereka mahu. Oleh itu, kita harus memberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya semasa ditemui pemberita pada Mobile Service 2U SUPP Team Dudong di sini hari ini.
Turut hadir engerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong.
Sementara itu, ibu Clement, Lau Hee Ming, berkata anaknya telah menerima tawaran untuk kursus kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sedangkan impiannya adalah untuk mengikuti kursus perubatan.
Lau berharap dengan rayuan ini dapat membuka peluang untuk anaknya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Ding berharap tindakan ini dapat membantu menangani isu kekurangan doktor di Sarawak, seperti yang telah dibangkitkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau turut menekankan usaha rakyat Sarawak untuk mengambil alih autonomi dalam bidang kesihatan dan pendidikan bagi memastikan pengaturan yang lebih baik.
“Saya berharap UNIMAS atau UPUonline dapat mempertimbangkan semula permohonan Clement untuk kursus perubatan agar dia dapat merealisasikan cita-citanya menjadi seorang doktor,” tambah Ding.
Sehubungan itu, Ding bersama Wong akan membantu Clement memajukan surat rayuan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, dengan harapan agar cita-cita Clement dapat direalisasikan.
“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini dan memastikan ia ditangani dengan baik,” katanya.
Oleh TARANI LANTING
Gambar
Ding (lima dari kanan) bersama yang lain ketika ditemui pemberita pada Mobile Service 2U SUPP Team Dudong di Sibu, hari ini.