SIBU: Unit MPV (Mobile Patrol Vehicle) dan URB (Unit Rondaan Bermotosikal) di bawah Cawangan Pencegahan Jenayah dan Koordinasi Sumber Sokongan, Bahagian Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, terus komited dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara di kawasan mereka.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kedua-dua unit tersebut memainkan peranan penting dalam pencegahan jenayah melalui rondaan berkala di kawasan strategik serta tindak balas pantas terhadap laporan dan aduan masyarakat setempat.
“Menerusi pendekatan bersepadu, unit ini sentiasa memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dan mewujudkan kerjasama erat antara pihak polis dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.
Beliau menambah bahawa rondaan rutin yang dijalankan bukan sahaja bertujuan mencegah jenayah, malah memberikan keyakinan kepada penduduk bahawa kawasan mereka sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa.
Zulkipli turut menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau kejadian jenayah kepada pihak polis untuk tindakan segera.
“Keberadaan unit MPV dan URB yang sentiasa bersiap siaga adalah bukti komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya.
Usaha ini, menurut beliau, selaras dengan objektif PDRM untuk melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah serta memperkukuhkan keharmonian di kawasan Sibu dan sekitarnya.
Oleh Tarani Lanting