
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), melalui anak syarikatnya UNIMAS Holdings Sdn Bhd, telah menandatangani Surat Perjanjian Geran Industri (LOA) bersama Maltimur Aktif Unggul JV Sdn Bhd (MAUJV) bagi pelaksanaan Projek Sarawak–Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR 2).
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, Prof. Ir Dr Siti Noor Linda Taib, kolaborasi tersebut merupakan contoh sinergi yang berkesan antara dunia akademik dan industri ke arah pembangunan mampan negeri.
“Kerjasama ini membuktikan bahawa UNIMAS bukan sahaja bersedia menyumbang kepakaran dalam bidang penyelidikan dan teknikal, malah mampu menjadi rakan strategik kepada industri bagi projek berskala besar,” ujarnya semasa majlis berkenaan.
Melalui perjanjian tersebut, MAUJV memperuntukkan sebanyak RM983,232 kepada Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UNIMAS, bagi melaksanakan kajian Seismic and Geohazard Soil Mapping di kawasan tanah tinggi utara Sarawak.
Ketua Penyelidik, Ir Dr Raudhah Ahmadi dari Jabatan Kejuruteraan Sivil UNIMAS, memaklumkan bahawa pasukannya akan memberi tumpuan kepada aspek teknikal, keselamatan, impak sosioekonomi serta pendekatan lestari sepanjang laluan projek berkenaan.
“Kami amat berbesar hati menerima kepercayaan ini. UNIMAS komited untuk memastikan penyelidikan yang dijalankan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelaksanaan projek, malah kepada komuniti dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MAUJV, Datu Safri Zainuddin, berkata pihaknya amat menghargai penglibatan institusi pengajian tinggi dalam menjayakan projek infrastruktur penting ini.
“Kami percaya penglibatan UNIMAS akan memperkukuh pelaksanaan SSLR 2, menjadikannya lebih menyeluruh, profesional, dan berasaskan data saintifik,” jelas beliau.
Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan aspek teknikal projek, tetapi turut membuka peluang kepada pelajar UNIMAS – termasuk pelajar sarjana, PhD, dan pasca doktoral – untuk terlibat secara langsung dalam kerja lapangan dan penyelidikan ilmiah.
Selain itu, projek ini dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui kajian impak sosial serta cadangan penambahbaikan dalam pelaksanaan infrastruktur mega di kawasan terbabit.
Majlis penyerahan LOA tersebut turut disaksikan oleh barisan pengurusan kanan UNIMAS, ahli akademik, wakil industri serta media tempatan, sebagai simbol komitmen bersama ke arah pembangunan negeri yang inklusif dan lestari.