Kebakaran hutan Indonesia: Malaysia tawar bantuan bombardier, helikopter – Ahmad Zahid

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden, hari ini. Foto Bernama

JAKARTA: Malaysia secara rasmi menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi membantu memadamkan kebakaran hutan di negara itu, termasuk sebuah pesawat Bombardier CL-415MP yang pernah digunakan Malaysia untuk menolong negara jiran itu mengatasi kebakaran hutan sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tawaran itu disampaikan kepada Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka dalam satu pertemuan bersempena dengan lawatan kerja ke Indonesia yang bermula hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata selain pesawat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu, Malaysia turut menawarkan tiga helikopter dan 52 pegawai dan anggota daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), APMM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Perkara itu akan dibawa kepada Presiden Prabowo Subianto untuk persetujuan pemerintah Indonesia,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia, di sini hari ini.

Lawatan selama empat hari sehingga 20 September itu adalah atas jemputan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia bersempena dengan Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5, dengan Ahmad Zahid dijadual menghadiri majlis pembukaan esok dan menjadi ahli panel dalam sesi berkaitan kerjasama halal serantau.

Pesawat Bombardier CL-415MP APMM, yang berkeupayaan melakukan operasi pemadaman kebakaran dari udara, pernah dihantar ke Sumatera Selatan pada 2015 dan melepaskan 546,000 liter air sepanjang lima hari penugasan.

Ahmad Zahid berkata pesawat itu akan digunakan untuk membawa air dari tasik, laut atau sungai sebelum melepaskannya ke kawasan kebakaran, manakala tiga helikopter yang ditawarkan turut digunakan bagi operasi sama.

“Malaysia sangat prihatin terhadap permasalahan yang berlaku ini kerana berlaku setiap tahun sama ada pembakaran secara terbuka di Kalimantan atau Sumatera dan jerebu itu datang ke Malaysia.

“Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata bantuan itu bukan bertujuan mencampuri urusan Indonesia, sebaliknya bagi membantu menangani masalah jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan negara jiran.

“Yang penting bagi kita menyelesaikan masalah ini sebelum berlaku setiap tahun. Ertinya pelan mitigasi atau perancangan supaya kebakaran ini tidak berlaku. Pelan mitigasi ini dilakukan demi kepentingan Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Indonesia turut mempunyai kerjasama rapat dalam pengurusan bencana menerusi pertemuan dan latihan bersama, termasuk di peringkat ASEAN.- Bernama

IPU Kuching terus meningkat, cecah 174

KUCHING: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching terus meningkat apabila mencatat bacaan 174 setakat 4.00 petang ini, berbanding 161 pada