Lelaki dipenjara lima tahun, dua sebatan atas kesalahan dadah berulang

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki berusia 40 tahun dari Kampung Tangga Plaman, Serian dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan dadah secara berulang di Mahkamah Sesyen (1), Kuching pada hari ini. Foto IPD Serian

SERIAN: Seorang lelaki berusia 40 tahun dari Kampung Tangga Plaman, Serian dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan dadah secara berulang.

Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, hukuman itu diputuskan di Mahkamah Sesyen (1), Kuching pada hari ini.

Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dibaca bersama Seksyen 39C(1) akta sama, yang memperuntukkan tindakan lebih tegas terhadap kesalahan berulang.

Selain hukuman penjara dan sebatan, beliau turut dikehendaki menjalani Perintah Pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB 1952 selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Kes tersebut dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Serian.

PDRM melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serian menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya mereka yang mengulangi kesalahan.

Tindakan penguatkuasaan berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan polis membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah serta memastikan pesalah berulang berdepan tindakan undang-undang yang diperuntukkan.

PDRM turut mengingatkan masyarakat supaya menjauhi sebarang aktiviti berkaitan dadah dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui kewujudan kegiatan tersebut di kawasan masing-masing.

Oleh Adi Safarman