KUALA LUMPUR: Selepas tiga dekad dalam industri muzik, hubungan istimewa kumpulan popular Indonesia, Ungu, dengan peminatnya ternyata masih kukuh apabila ribuan penonton memenuhi Idea Live Arena di sini semalam bagi menyaksikan konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur.
Bukti kesetiaan peminat, termasuk yang datang dari Brunei dan Singapura, turut diserlahkan apabila rata-rata mengenakan pakaian berwarna putih dan ungu, menepati tema konsert berkenaan.
Bermula tepat 8.50 malam, kesemua anggota Ungu tampil di atas pentas dengan berbaju Melayu, membuka tirai persembahan menerusi lagu Cindai, nyanyian asal Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, sekali gus memberikan sentuhan budaya tempatan pada malam istimewa berkenaan.
Penonton turut menyanyikan hampir setiap rangkap lagu berkenaan, jelas menunjukkan mereka sudah menghafal liriknya, sebelum Pasha mengambil kesempatan menyapa peminat dan berkongsi mengenai hubungan Ungu dengan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama.
“Kita pertama kali datang ke Malaysia pada 2007, iaitu 19 tahun lalu… ini juga bermaksud Ungu dan Malaysia mempunyai hubungan yang kuat. Saya boleh katakan Ungu dan Malaysia seperti rumah kedua,” ujarnya.
Sepanjang persembahan dua jam itu, Pasha tidak melupakan kehadiran peminat dan berinteraksi dengan mereka menerusi tema cinta dan emosi.
Daripada lagu-lagu cinta, Ungu turut membawa sisi muzik yang lebih dekat dengan kerohanian menerusi Andai Ku Tahu dan Bila Tiba, dua karya yang mengundang suasana syahdu apabila hadirin turut menyanyi bersama-sama.
Malam itu turut menyaksikan Ungu bergandingan dengan penyanyi tempatan, Marsha Milan, yang tampil sebagai artis jemputan menerusi lagu Bismillah Cinta dan Tercipta Untukku.
Kehadiran Marsha menambah warna pada persembahan sebelum Ungu kembali membawa peminat menyusuri perjalanan muzik mereka menerusi 19 lagu daripada pelbagai fasa, termasuk Cinta Gila, Hampa Hatiku dan Percaya Padaku.
Ungu turut mempersembahkan lagu terbaharu mereka, Utara-Selatan. Pasha juga memberi bayangan mereka bakal tampil dengan karya baharu tidak lama lagi yang membawa nuansa hampir sama dengan lagu hit mereka, Andai Ku Tahu dan Bila Tiba.
Sambutan tiga dekad perjalanan Ungu turut diraikan menerusi acara memotong kek hari jadi di atas pentas, selain memberi penghormatan kepada Makki, satu-satunya anggota asal kumpulan itu yang kekal sejak penubuhannya pada 1996. – Bernama





