SPAOH: Pengarah Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Amar Douglas Uggah yakin calon GPS Parlimen Betong, Dr Richard Rapu mampu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan sambutan hebat kepada calon kami Dr Richar setakat ini. Orang yang kita temui sangat gembira dan bersemangat dengan GPS dan Dr Richard.
“Ada yang sangat emosional, berikrar untuk memberi sokongan kepada GPS. Saya percaya kita akan mengulangi kejayaan seperti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, Layar dan Saribas pada pilihan raya negeri tahun lalu,” katanya.
Uggah yang juga Timbalan Premier berkata demikian dalam pertemuan dengan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua-ketua kampung dari kampung Melayu di sini.
Di sebalik keyakinan itu, beliau mengingatkan semua supaya tidak leka dan mesti terus bekerja keras untuk mengekalkan momentum kecemerlangan GPS sebelum ini.
Katanya, pengundi serta rakyat di Parlimen Betong mempunyai segala perancangan pembangunan yang bakal diperoleh dengan kemenangan GPS nanti.
GPS katanya melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) sedang dalam proses melaksanakan projek dan program pembangunan bernilai RM200 juta masing-masing di DUN Layar, Bukit Saban dan Saribas.
“Tahun depan kita akan memperhalusi dan memutuskan keutamaan dalam perancangan projek-projek di BDDA. Janganlah kita meletakaan undi pada calon bukan dari wakil GPS,” katanya.
Uggah yang juga ADUN Bukit Saban berkata undi untuk calon GPS di Betong juga undi untuk Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengetuai GPS.
“Beliau bertanggungjawab ke atas banyak perkara baik yang sedang kita nikmati di negeri ini. Mari kita terus memperkukuhkan lagi kerajaan GPS kita dengan mempunyai lebih ramai wakil di Dewan Rakyat,” katanya.
Dr Richard dalam ucapannya pula berkata beliau sangat berterima kasih atas semua bantuan serta sokongan yang diberikan.
Katanya, jika menang, dia antara lain mahu memajukan Spaoh berganding bahu bersama Uggah supaya ia boleh dinaikkan ke sebuah daerah penuh dalam masa terdekat.
Sementara itu, ketika melawat rumah panjang Rumah Jame Unggot di Lubok Kelampu di Paku di sini malam tadi, Uggah memberitahu hadirin Iban bahawa jika pembangkang berjaya menawan Betong, tidak mudah untuk merampasnya semula pada pilihan raya akan datang.
Lebih teruk lagi, katanya, rakyat akan dibiarkan sendiri kerana pembangkang atau Bebas tidak mampu untuk membantu mereka.
Uggah berkata kerajaan GPS telah menyediakan banyak bantuan kepada penduduk luar bandar.
“GPS memperuntukkan sejumlah RM50 juta setiap tahun untuk skim pinjaman rumah panjang. Setiap pemohon yang layak akan mendapat RM30,000 pinjaman tanpa faedah untuk membina atau membaiki unit rumah panjang,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN