Inisiatif Friends of BHESS dilancar bantu perkukuh MA63 sebagai naratif nasional – Mustapha

Facebook
WhatsApp
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata inisiatif Friends of BHESS dapat membantu memperkukuh pelaksanaan MA63 sebagai naratif nasional melalui kefahaman dan dukungan bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Friends of Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), yang antara lain bertujuan menjadi wadah untuk memperluas perbincangan serta perkongsian maklumat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Senator, bakal dilancar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata inisiatif itu dilaksanakan BHESS dengan kerjasama Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia.

“Langkah ini juga selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pengumuman beliau bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip terhadap penambahan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira nisbah perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.

“Usaha untuk merealisasikan perkara ini memerlukan proses perundangan dan sokongan yang mencukupi di Parlimen. Justeru, ia tidak boleh digalas oleh wakil rakyat Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya memerlukan dukungan bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penubuhan Friends of BHESS diharap dapat membantu membina kefahaman dengan menyediakan ruang perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif merentasi wilayah serta politik kepartian.

Mustapha juga berkata pengukuhan hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak secara langsung akan memperkukuh kestabilan dan kedaulatan Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya.

“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mahu pelaksanaan MA63 dijadikan naratif nasional serta tidak dilihat sebagai isu khusus membabitkan Sabah dan Sarawak semata-mata.

Anwar berkata kerajaan juga bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa selaras dengan semangat MA63. – Bernama

Anwar mahu MA63 dijadikan naratif nasional

KOTA KINABALU:  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan naratif nasional dan tidak dilihat