UEFA, AFC, CONCACAF dakwa kepimpinan FIFA “langgar kepercayaan”

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

ANKARA: Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) pada Isnin menuduh kepimpinan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan “pelanggaran kepercayaan asas” berhubung pengendalian cadangan untuk menjual kepentingan dalam hak komersial Piala Dunia.

Dalam kenyataan bersama, ketiga-tiga konfederasi itu berkata pertikaian berkenaan pada akhirnya berkisar mengenai “integriti sukan” dan menggesa kepimpinan FIFA meningkatkan tahap kebertanggungjawaban, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Bola sepak ialah minat bersama terbesar di dunia. Ia bukan milik mana-mana individu atau institusi,” kata mereka sambil menegaskan bahawa sukan itu milik pemain, peminat, kelab, persatuan anggota serta institusi yang diamanahkan untuk melindungi masa depannya.

Kenyataan itu berkata surat terbaru FIFA kepada naib presiden dan 211 persatuan anggotanya mengakui terdapat kesilapan dalam proses berkenaan, namun menyifatkannya sebagai kegagalan komunikasi.

Konfederasi berkenaan berhujah bahawa isu itu melangkaui soal komunikasi, dengan mengatakan cadangan tersebut dikemukakan dalam tempoh singkat tanpa rundingan bermakna serta menetapkan tarikh akhir yang mengehadkan keupayaan persatuan anggota untuk meneliti terma cadangan dengan sewajarnya.

Mereka turut berkata FIFA gagal mengakui bahawa cadangan itu sendiri mempunyai kelemahan asas, dan menyifatkan cubaan menjual kepentingan dalam Piala Dunia sebagai kegagalan pertimbangan yang serius serta pengkhianatan terhadap kepercayaan institusi yang sepatutnya dilindungi FIFA.

Ketiga-tiga konfederasi itu menggesa supaya semakan bebas oleh pihak ketiga dijalankan terhadap perkara berkenaan, dengan menegaskan FIFA tidak sepatutnya menjalankan siasatan itu sendiri atau melalui kakitangan serta pihak berkepentingan bola sepak yang lain.

Mereka turut menggesa semua dokumen dan rekod berkaitan dipelihara.

Kenyataan itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai satu mesyuarat kepimpinan baru-baru ini di Maghribi, dengan mengatakan rekod FIFA sendiri menunjukkan hanya seorang pegawai yang dipilih hadir, manakala tiada anggota Majlis FIFA atau anggota persatuan dijemput.

Sebaliknya, mesyuarat itu dihadiri pegawai kanan FIFA yang berkhidmat dalam jawatankuasa pengurusan.

Konfederasi itu berkata keputusan memanggil sekumpulan terpilih anggota jawatankuasa pengurusan ke luar negara, dan bukannya meminta kepimpinan FIFA menangani isu itu di ibu pejabatnya di Zurich, mengukuhkan lagi kebimbangan mereka mengenai tadbir urus organisasi itu.

Mereka berkata episod itu menunjukkan corak tindakan yang tidak selari dengan peranan FIFA sebagai penjaga bola sepak.

“Wujud kesunyian ketika sepatutnya ada kebertanggungjawaban, jarak ketika sepatutnya ada keterbukaan. Ini bukan sifat yang layak dimiliki kepimpinan bola sepak,” kata mereka.

Kenyataan itu dibuat selepas UEFA menegaskan bahawa ia akan terus memboikot pertandingan FIFA walaupun Presiden FIFA Gianni Infantino menarik balik cadangan berkenaan dan memohon maaf atas cara ia dikendalikan.

FIFA membatalkan rancangan itu selepas ia mencetuskan tentangan meluas daripada badan-badan bola sepak. – Bernama

75 emas sasaran Sarawak pada SUKMA ke-22

KUCHING: Kontinjen Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 75 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos