RASMI… Sekitar Majlis Perasmian Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm yang disempurnakan oleh Dato Sri Dr. Sim Kui Hian di Pusat Perubatan Borneo di Kuching, semalam.
KUCHING: Pengamal perubatan tempatan diminta supaya bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak selain memanfaatkan sistem penjagaan kesihatan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, ramai bakat muda yang berjaya dalam bidang masing-masing tetapi tidak mempunyai semangat untuk mengambil inovasi dan memanfaatkan bakat mereka, terutamanya melibatkan kesihatan.
“Sarawak tidak boleh hanya menjadi sebuah negeri yang kaya dengan sumber tetapi mempunyai penduduk yang tidak sihat kerana kesihatan adalah penting memandangkan sistem penjagaan kesihatan perlu dipertingkat selaras dengan aspirasi negeri ini.
“Justeru, mereka yang mempunyai bakat dan berjaya dalam bidang masing-masing mesti mengubah minda dan berusaha mencari jalan cara kita boleh bersama-sama menjadikan Sarawak negeri yang makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm di Pusat Perubatan Borneo Kuching, semalam.
Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah, Sarawak dijangka bakal meningkatkan hasil pendapatan negeri dua kali ganda menjelang 2030.
Hal ini kerana, Sarawak kini telah merekodkan kira-kira RM6 bilion hasil negeri pada 2018 dan hampir mencatat dua kali ganda jumlah itu bagi tahun ini, jelas beliau.
“Bagi tempoh lima tahun lagi, anda boleh bayangkan berapa banyak wang yang kita akan ada.
“Oleh sebab itu, isu-isu yang tidak dapat kita tangani selama 60 tahun yang lalu tidak lagi menjadi tugas yang mustahil,” tambahnya.
Pada majlis itu, Dr. Sim melancarkan Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm yang merupakan platform pengimejan pembedahan direka untuk digunakan dalam pembedahan tulang belakang, tengkorak, ortopedik dan trauma.
P1: Dato Sri Dr. Sim Kui Hian merasmikan pelancaran Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm di Pusat Perubatan Borneo di Kuching. Turut kelihatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk We Hong Seng (baju hijau).
P2: Sekitar majlis perasmian Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm yang disempurnakan oleh Dato Sri Dr. Sim Kui Hian di Pusat Perubatan Borneo di Kuching semalam.
Oleh SYAMIMI HUSNA