KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyumbang pelbagai peralatan perubatan dan keperluan bagi kegunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam.
Tun Taib menyumbangkan satu unit Portable Ultrasound Linear Probe, lima unit alat Anti DVT, dua Unit Fibreoptic Scope dan dua unit Syringe Pump yang berjumlah RM120,500 untuk kegunaan unit rawatan rapi dalam usaha merawat pesakit wabak Covid-19.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Datu Mustapa Han menyerahkan sumbangan itu kepada Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Ngian Hie Ung, dan Ketua Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak, Dr Teo Shu Ching di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini.
Selain itu, Tun Taib juga menyumbang 700 pek makanan dan air mineral kepada Bilik Gerakan IPK Sarawak untuk diagihkan kepada petugas PDRM, ATM dan RELA yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tun Taib menyeru agar semua rakyat Sarawak dapat memberi kerjasama dan mematuhi PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
“Kerjasama semua anak Sarawak amatlah diperlukan supaya petugas barisan hadapan dapat menumpukan perhatian terhadap pengesanan, rawatan dan membanteras wabak koronovirus ini,” ujar Tun Taib.
Selain itu, Tun Taib juga menasihatkan supaya orang ramai tidak mudah percaya dengan penularan berita palsu di media sosial. “Orang ramai dinasihatkan juga supaya hanya mendapatkan maklumat dan laporan sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa,” kata beliau.