

KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Iftar Perdana 2025 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini.
Ketibaan beliau di Pusat Islam Abang Salahuddin (PITAS) UNIMAS disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit serta isteri, Profesor Dr. Ramlah Zainudin.
Berucap pada majlis itu, Dr. Ahmad Hata memberitahu, untuk kesekian kalinya UNIMAS menganjurkan program tahunan Iftar Perdana sebagai wadah menghimpunkan warga UNIMAS serta masyarakat sekitar Kota Samarahan.
“Kita telah memasuki fasa 10 terakhir Ramadan dan PITAS UNIMAS merupakan antara tempat yang menjadi tumpuan para pelajar beragama Islam sepanjang Ramadan ini.
“Bahkan ada beberapa aktiviti terutamanya majlis berbuka puasa yang turut disertai oleh pelajar bukan Islam,” katanya.
Bercakap mengenai konsep melakukan ibadah jelasnya, ia tidak sahaja tertumpu pada Ramadan semata-mata, malah setiap pekerjaan di UNIMAS merupakan ibadah.
“Tugas menyebarkan ilmu itu ibadah. Mengurus para pelajar juga ibadah. Malah tugas paling besar kita di UNIMAS ini bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada mahasiswa, tetapi turut membentuk generasi muda berakhlak mulia bagi mewarisi amanah yang kita galas ini sebagai Khalifah Allah di muka bumi,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu, Tun Dr. Wan Junaidi turut menyampaikan Sumbangan Khas Ihya’ Ramadan UNIMAS 2025 kepada 10 masjid, surau dan maahad di sekitar Kota Samarahan, Kuching dan Serian, sebagai usaha memperkukuh hubungan komuniti dan menyokong aktiviti keagamaan.
Antara penerima sumbangan ialah Maahad Raudhatul Jannah Raudhah; Masjid Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, Kampung Sadong Jaya; Masjid Al Azhar, Kampung Semera Asajaya; Masjid Darul Amaliah, Kampung Tanah Putih Serian; Masjid Ali Fatimah, Kampung Mang Samarahan; Masjid Darul Abrar, Kampung Tupong Tengah; Surau Darul Hana; Kampung Munggu Limo Serian; Surau Bumiputra, Kampung Sambir Asajaya; Surau Darul Taqwa, Jalan Gunung Ngeli Simunjan; dan Surau Baiturrahim Lot Fasa II, Kampung Tanjung Bundong Samarahan.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Ir. Ts. Dr Al Khalid Othman; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ir Dr Siti Noor Linda Taib; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian) Profesor Madya Ts. Noraziah Abd Wahad; Ketua Pegawai Digital Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UNIMAS dan yang lain.