JIKU JUGUONG
MARUDI: Sebuah kapal terbang MAS Wing, jenis Twin Otter tergelincir ke dalam parit di tepi landasan Lapangan Terbang Long Seridan ketika mendarat pagi semalam.
Menurut petugas di padangterbang Marudi, Twin Otter tersebut membawa dua penumpang dari Miri pada 8.35 pagi dan sampai ke Marudi pada 9.00 pagi sebelum berangkat ke Long Seridan pada 9.35 pagi.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Dato Gerawat Gala ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, beliau mendapat maklumat tentang kejadian itu daripada Ibu Pejapat Polis Daerah (IPD) Marudi dan Penghulu Willy Wing dari Long Serdian.
Kedua-kedua penumpang dan juruterbang dilaporkan selamat dan menurut Gerawat, beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif di Kota Kinabalu dan diberitahu bahawa penyiasatan kejadian tersebut sedang dilakukan.
Jelasnya, beliau juga menghubungi Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin mengenai kejadian tersebut.
Beliau berharap MAS Wing dapat melakukan siasatan sepenuhnya kejadian berkenaan dan memberi maklumat terperinci kepada orang awam mengenai kejadian itu supaya para penumpang lain tidak berasa takut dan keselamatan mereka terjamin.
Beliau berharap kejadian ini tidak akan berulang di masa akan datang yang mana kejadian yang sama pernah berlaku dan Marudi dan Bario sebelum ini.
Gerawat menggesa kepada orang awam supaya tidak menyebar maklumat negatif berhubung kejadian tersebut kerana siasatan masih dilakukan oleh pihak MAS Wing dan Jabatan Penerbangan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Malaysian Airport Berhad dan Kementerian Pengangkutan untuk menaik taraf Lapangan Terbang seperti di Bario, Long Seridan, Long Banga, Long Lellang, Mulu National Park, Ba Kelalan dan Long Akah untuk keselamatan dan keselesaan penumpang.