KABONG: Berjumpa, bertanya khabar, tampil dan mendengar sendiri keluhan rakyat mengenai isu-isu di peringkat kampung merupakan kaedah yang sering diterapkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir.
Menurut Chee Kadir, kaedah ini bukan sahaja mendekatkan pemimpin dengan rakyat, tetapi juga cara terbaik untuk pemimpin mengetahui secara terus permasalahan yang dihadapi rakyat.
Menurutnya lagi, pendekatan seperti itu sejajar dengan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan keperluan rakyat Sarawak termasuk mereka di kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini.
“Sudah pasti saya akan memberikan perhatian terhadap setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Apa pun masalah mereka, kita akan tetap memberikan keutamaan walaupun ada sebahagiannya terpaksa diselesaikan secara berperingkat-peringkat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Chee Kadir semalam telah berkesempatan menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir seorang penduduk yang telah meninggal dunia di Kampung Hilir Darat Kabong.
Pada masa yang sama katanya, beliau lebih gemar mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi masyarakat dengan menghadiri perjumpaan yang dianjurkan.
“Sudah pasti, saya akan berusaha sedaya upaya membantu rakyat dalam apa-apa jua isu yang berbangkit terutama yang melibatkan kepentingan bersama.
“Saya memberi jaminan akan meneruskan perjuangan untuk membela nasib rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong ini tanpa pilih kasih dan tidak mengira kaum.
“Masih banyak yang perlu dilaksanakan di kawasan ini khususnya dalam aspek pembangunan,” ujar beliau.
Justeru, beliau menggesa agar rakyat di negeri ini kekal bersatu dan berdiri teguh di belakang Kerajaan Sarawak (GPS) untuk memastikan pembangunan berterusan.
“Ini penting bagi memudahkan kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan di sesebuah kawasan. Kerajaan GPS sentiasa berpegang teguh kepada janji-janji mereka, dan rakyat tidak perlu risau tentang itu,” tegas Chee Kadir.
Oleh Adi Safarman