Pelabuhan Bintulu kembali di bawah Sarawak, operasi terjamin hingga 2056

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Penghargaan BPHB di Hotel Imperial, Bintulu semalam.

BINTULU: Pengembalian rasmi Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak selepas 48 tahun berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menjadi antara pencapaian penting sepanjang tempoh kepimpinan bekas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Dato Ruslan Abdul Ghani.

Perkara itu antara yang diketengahkan pada Majlis Makan Malam Penghargaan BPHB bagi menghargai sumbangan dan kepimpinan beliau yang diadakan di Imperial Hotel, di sini, semalam.

Setiausaha kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berkata peralihan itu dimuktamadkan menerusi Perjanjian Penyempurnaan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak serta Perjanjian Tiga Pihak yang melibatkan Bintulu Port Sdn. Bhd. (BPSB).

Beliau berkata, perkara itu turut diwartakan menerusi Warta Kerajaan Sarawak Swk. L.N. 261 pada 10 September 2026 di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan 1961, sekali gus mengesahkan pelantikan BPSB sebagai pengendali pelabuhan yang diluluskan bagi Pelabuhan Bintulu.

“Pelantikan itu diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 7 Mei 2026 dan berkuat kuasa pada 1 September 2026 bagi tempoh 30 tahun sehingga 31 Ogos 2056,” katanya.

ENCIK Anuar Ismail menyampaikan cenderamata kepada Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki sebagai tanda penghargaan pada Majlis Makan Malam Penghargaan BPHB berkenaan.

Sementara itu, Datuk Amar berkata, sepanjang tempoh kepimpinan Ruslan sejak menyertai BPHB pada September 2022, beberapa perkembangan penting berjaya dilaksanakan, termasuk dalam aspek pendigitalan dan operasi pelabuhan.

Katanya, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah sistem pengecaman wajah dan autogate, sistem keselamatan pelabuhan berasaskan dron serta aplikasi e-hailing dalaman, BookAjak.

“Dalam aspek operasi, kita melancarkan Halal Hub serantau pada Julai lalu dengan kerjasama Majlis Pembangunan Industri Halal Sarawak (MPIHS), sekali gus membuka ruang baharu bagi kepelbagaian perdagangan.

“Biport Bulkers pula terus mengendalikan kapasiti empat juta tan setahun, bersamaan kira-kira 25 peratus daripada jumlah eksport Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, prestasi operasi itu turut menyumbang kepada pulangan kewangan yang kukuh, termasuk pengagihan dividen berjumlah RM802.31 juta kepada Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dan Equisar Assets Sdn. Bhd.

DATUK Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyampaikan penghargaan kepada Dato Ruslan Abdul Ghani atas sumbangan dan kepimpinannya sepanjang menerajui Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) pada Majlis Makan Malam Penghargaan BPHB di Hotel Imperial, Bintulu semalam.

Dalam pada itu, Datuk Amar mengalu-alukan pelantikan Encik Anuar Ismail sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB yang baharu.

Katanya, Anuar yang secara rasmi memulakan tugas pada 17 Ogos 2026 membawa pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kepimpinan, strategi dan operasi.

“Encik Anuar berkongsi visi untuk mengubah Pelabuhan Bintulu menjadi pelabuhan pintar, tangkas dan hijau menjelang 2030,” katanya.

Beliau turut meminta seluruh warga kerja, pihak pengurusan, rakan perniagaan dan pemegang taruh memberikan sokongan serta kerjasama kepada kepimpinan baharu, khususnya dalam meneroka peluang masa depan, termasuk meningkatkan kapasiti pengendalian kargo dan memperkukuh inisiatif pelabuhan mampan.

Datuk Amar turut berkata, dengan rangka kerja operasi yang kini terjamin sehingga 2056, Pelabuhan Bintulu mempunyai asas yang jelas untuk terus berkembang serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.

Oleh Faizah Muzidi