ISTANBUL: Turki dan Greece saling bertelagah menegani isu penukaran status Hagia Sophia di Istanbul kepada masjid, sehari selepas solat fardu Jumaat diadakan buat kali pertama dalam tempoh sembilan dekad.
Tanpa menamakan Greece, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berpeluang menghadiri solat Jumaat itu menyatakan tindakan kritikan itu bertujuan menentang umat Islam dan Turki.
Kritikan Greece terhadap langkah itu dilihat meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara tersebut.
Hagia Sophia sebelum ini merupakan sebuah muzium dan kebanyakan orang Greece menganggapnya sebagai pusat agama Kristian ortodoks mereka.
Greece melakukan protes di seluruh gereja negara terbabit dengan membunyikan loceng, setiap hari Jumaat.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Jurucakap Kementerian Luar Negeri Turki menyatakan, Greece menunjukkan sekali lagi ‘permusuhannya’ terhadap Islam dan Turki dengan asalan bertindak balas terhadap Masjid Hagia Sophia yang dibuka untuk solat.
Beliau mengecam keras kenyataan Kerajaan Greece dan anggota Parlimen mereka serta pembakaran Bendera Turki di Thessaloniki, Greece.
Kementerian Luar Negeri Greece bertindak balas dengan menyatakan masyarakat antarabangsa abad ke-21 terkejut melihat pergolakan fanatik agama dan nasionalis Turki.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis menyifatkan tindakan Turki itu sebagai ‘pengacau’ dan penukaran status Hagia Sophia itu sebagai penghinaan terhadap peradaban abad ke – 21.
Hubungan Greece dan Turki tegang dan sukar mendapat kata sepakat mengenai pelbagai isu bermula dari ruang udara hingga zon maritim di Timur Laut Mediterania dan pemecahan etnik Cyprus.-AFP