BUENOS AIRES: Puluhan anak paus ditemukan mati terdampar di pantai sepanjang Semenanjung Valdes di Argentina, menurut pihak berkuasa.
Kerajaan wilayah Chubut minggu ini memaklumkan jangkitan bakteria kini dianggap sebagai punca paling berkemungkinan. Bakteria berkenaan boleh menyebabkan penyakit sistemik dalam kalangan anak southern right whale. Setakat ini, tiada bukti menunjukkan kematian itu berpunca daripada faktor yang disebabkan manusia.
Pihak berkuasa wilayah sedang menyiasat kejadian berkenaan dengan kerjasama saintis.
Haiwan yang terjejas ialah southern right whale (Eubalaena australis), yang berhijrah ke perairan pantai Argentina, Brazil dan Uruguay untuk membiak dan membesarkan anak. Spesies itu berkumpul dalam jumlah besar di teluk di utara Patagonia.
Saintis Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknikal Kebangsaan Argentina (CONICET), Mariano Coscarella memberitahu akhbar Pagina 12 bahawa kadar kematian itu “agak tinggi.”

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengingatkan bahawa paus berkenaan mati setiap tahun dan kematian semasa juga mungkin sebahagian daripada dinamika semula jadi populasi. Kadar kematian boleh berbeza dengan ketara antara musim pembiakan, malah dalam musim pembiakan yang sama.
Jangkitan bakteria kekal sebagai hipotesis utama yang sedang diteliti, dengan kejadian serupa pernah dikesan di beberapa tempat lain di dunia.
Semenanjung Valdes di utara Patagonia, yang meliputi kira-kira 4,000 kilometer persegi, merupakan kawasan perlindungan penting bagi mamalia marin. Ribuan singa laut, anjing laut gajah dan pelbagai spesies paus datang ke perairan pantai itu ketika musim pembiakan dan membesarkan anak.
Dua arus lautan bertemu di kawasan itu, mewujudkan perairan yang kaya dengan nutrien. Semenanjung berkenaan diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Alam Dunia UNESCO pada 1999. – Bernama




