PARIS: Keganasan meletus di sini semalam dalam insiden tunjuk perasaan besar-besaran yang berlangsung kali kedua berturut-turut pada hujung minggu bagi membantah undang-undang keselamatan baharu.
Undang-undang itu memperuntukkan peraturan bagi menyekat wajah pegawai polis daripada didedahkan.
Penunjuk perasaan bertempur dengan polis dan ada yang bertindak memecahkan tingkap kedai di jalanan, bank dan pasar raya.
Tunjuk perasaan mingguan itu mengundang tekanan kepada kerajaan pimpinan Presiden Perancis, Emmanuel Macro dan ia dilaporkan semakin tegang selepas polis bertindak memukul seorang penerbit muzik berkulit hitam bulan lalu.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri melaporkan angka penunjuk perasaan yang turun di jalanan di seluruh negara semalam mencatatkan penurunan iaitu sekitar 52,350 berbanding 133,000 orang pada hujung minggu lalu.
Beliau turut memaklumkan, kira-kira 5,000 orang awam terbabit dalam tunjuk perasaan di Paris berbanding 46,000 penduduk yang turun ke jalanan pada minggu lalu.
Anggota tunjuk perasaan dikenali sebagai pergerakan rompi kuning yang turut menggegarkan Perancis dengan desakan berikutan kelemahan dalam isu kesaksamaan sepanjang musim sejuk pada 2018 hingga 2019 lalu antara yang menonjol dalam demonstrasi kali ini.
Beberapa kereta turut dibakar sepanjang Avenue Gambetta ketika ribuan penunjuk perasaan bergerak menuju ke tengah Place de la Republique, kata wartawan AFP.
Penunjuk perasaan turut melemparkan objek ke arah polis yang bertindak menyemburkan gas pemedih mata.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin menulis menerusi ciapan di Twitter bahawa polis berdepan penduduk yang bertindak amat ganas.
“Tindakan seperti samseng itu merosakkan republik ini,” katanya.
Seramai 60 penunjuk perasaan ditahan di seluruh negara, manakala lapan anggota polis dilaporkan tercedera dalam insiden berkenaan, kata Darmanin.
Ia adalah satu daripada hampir 100 tunjuk perasaan yang dirancang di seluruh Perancis terhadap undang-undang keselamatan baharu itu dengan ribuan penduduk berkumpul di bandar-bandar termasuk Montpellier, Marseille dan Nantes, di mana dua polis cedera akibat terkena molotov cocktail. – AFP