PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, menghadiri majlis jamuan negeri bersempena Majlis Hakim-Hakim Malaysia ke-58 yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, malam tadi.
Majlis ini menghimpunkan kepimpinan tertinggi badan kehakiman negara, termasuk Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan suami Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Presiden Mahkamah Rayuan Dato’ Sri Hasnah Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Besar Malaya, dan suami serta Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, bersama isteri.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, dan isteri Datin Sri Ruziah Mohd. Tahir, serta Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Dalam majlis ini, Tun Wan Junaidi menegaskan bahawa integriti, dan kebebasan badan kehakiman adalah asas kepada sistem perundangan yang adil dan berwibawa.
Tun Wan Junaidi turut menekankan bahawa kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman bergantung pada ketelusan, profesionalisme, serta komitmen para hakim dalam menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.
Pada masa sama, Tun Wan Junaidi juga menyatakan keyakinan bahawa para hakim akan terus menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab, bebas daripada sebarang pengaruh luar, dan sentiasa berpaksikan kepada keadilan serta kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, Tun Wan Junaidi, dan isteri, meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama ahli keluarga di restoran Gu Jin pada 12.30 tengah hari.
Hadir sama dalam pertemuan tersebut, anakanda mereka Sharifah Fariah, Sharifah Nong Jassima, dan suami, Haqeem.
Turut serta, anak bongsu Tun Wan Junaidi, Tasnim, yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Tun Wan Junaidi menerusi perkongsian di laman media sosial Facebook rasmi beliau berkata, walaupun dalam tempoh yang singkat dengan kesibukan masing-masing, peluang untuk berkumpul bersama keluarga dimanfaatkan sepenuhnya.