
SIBU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar disifatkan sebagai tokoh pejuang negeri yang wajar dijadikan sumber inspirasi kepada generasi muda di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata pengalaman luas Tun Wan Junaidi, terutama semasa era ancaman komunis, mencerminkan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan negeri ini.
“Secara peribadi, saya amat mengagumi apa yang telah dilalui oleh beliau.
“Saya sempat mendengar pengalaman mendalam yang beliau kongsi berkenaan zaman komunis.
“Beliau boleh dianggap sebagai seorang pejuang negeri ketika itu dan saya percaya pengorbanan tersebut amat berguna serta menjadi iltizam dan semangat untuk anak-anak Sarawak, khususnya generasi muda, memastikan perjuangan negeri ini dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), malam tadi.
Mengulas lanjut, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka turut merakamkan penghargaan mewakili masyarakat terhadap sumbangan Tun Wan Junaidi dalam kepimpinan negeri.
“Saya mewakili seluruh masyarakat mengucapkan terima kasih kerana masyarakat sedar dan menyedari bahawa kepimpinan Tun amat bermakna dan besar ertinya.
“Pengalaman serta ilmu yang dimiliki Tun amat berguna, khususnya ketika kita sedang giat menuntut hak Sarawak dikembalikan.
“Saya percaya Tun sebagai payung kepada seluruh masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak akan terus membimbing serta memberi nasihat kepada kerajaan agar segala usaha tersebut dapat direalisasikan,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Oleh Tarani Lanting