MUKAH: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dianggapkan sebagai pemimpin terulung pada zamannya dengan dasar politik yang tersendiri.
Demikian pendapat Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian (ADUN) Yussibnosh Balo terhadap beliau yang popular dengan ‘Politik Pembangunan’ itu.
“Saya mengucapkan Selamat Hari Jadi yang ke-84 tahun kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau merupakan pemimpin terulung pada zamannya. Sarawak yang masih mundur telah dapat dibangunkan mengikut acuannya sendiri dengan dasar politik pembangunan yang telah dilaksanakan,” katanya.
Sebagai contoh Daerah Mukah, ujar Yussibnosh, ia telah menjadi satu hab pendidikan dengan cogankata ‘dari Taman Rumbia ke Kota Bestari’ semasa beliau mewakili kawasan ini.
“Sememangnya kita yang duduk di Mukah telah merasai banyak perubahan terutamanya dari segi kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan jaringan jalan perhubungan yang selesa.
“Tugas kami sebagai wakil rakyat yang mengambil alih tempatnya ialah untuk menyelenggara dan menaik taraf kemudahan berkenaan dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.
Tambahnya, secara keseluruhannya bukan mudah untuk membangunkan Sarawak yang merupakan wilayah yang terbesar di Malaysia namun dengan pasukan yang mantap di negeri ini mampu mengejar pembangunan di Semenanjung Malaysia yang lebih lima tahun dahulu terbentuk di bawah Persekutuan Malaya.
“Cumanya rakyat di Sarawak masih kurang berpuas hati dengan pembangunan yang telah dikecapi semasa beliau menjadi Ketua Menteri. Apabila kita melihat seluruh ceruk Semenanjung Malaysia kalau dibandingkan dengan Sarawak masih banyak kawasan yang mundur di sana (Semenanjung),” jelasnya.
Kata Yussinosh, apa yang kita lihat ialah kawasan bandar raya di sana lebih maju kalau dibandingkan dengan kita, namun, di sebalik kemajuan bandar rraya terdapatnya sebahagian kawasan yang lebih mundur dari kawasan kita di Sarawak.
“Kepimpinan Tun Taib saya akui telah membawa banyak perubahan di negeri ini. Sebagai seorang bekas pegawai kerajaan yang pernah bertugas di luar bandar, saya dapat melihat perubahan yang ketara di bawah kepimpinan beliau,” katanya.
Menurut Yussibnosh lagi, semasa Tun Pehin Taib menjadi wakil rakyat di kawasan Samarahan, kita dapat melihat perubahan Samarahan yang dahulunya hanya mempunyai gerai-gerai kecil pada 90an kini tersergam indah dengan pembangunan drastik sehingga jalan raya menjadi sesak dan bangunan-bangunan komersial serta perumahan tumbuh macam cendawan.
“Semasa Tok Nan menjadi Ketua Menteri selepasnya, Allahyarham Tok Nan mengakui bahawa banyak rizab kewangan kerajaan negeri telah dapat ditingkatkan oleh Tun Taib dan kita merupakan salah satu negeri yang mempunyai rezab yang besar.
“Itulah yang berlaku di bawah dasar politik pembangunan beliau. Saya berasa bangga mempunyai pemimpin sepertinya walaupun banyak tohmahan yang dilemparkan, namun inilah yang berlaku sehingga Sarawak dapat mengecapi kedudukan seperti sekarang bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga merupakan seorang pemimpin berkelibar meneruskan kepimpinan Sarawak Moden,” tambah beliau.