BINTULU: Di dasar laut Sarawak, ribuan struktur konkrit berbentuk kubah menjadi asas kepada satu misi besar yang mungkin tidak disedari ramai iaitu memulihkan ekosistem marin, memperkukuh sumber perikanan dan menjamin kelangsungan hidup komuniti pesisir.
Dikenali sebagai Reef Ball atau tukun bebola, struktur itu bukan sekadar konkrit yang dilabuhkan ke dasar laut.

Ia direka khas untuk meniru fungsi terumbu karang semula jadi, menyediakan tempat perlindungan, pembiakan dan pembesaran pelbagai spesies hidupan marin.
Selepas ditempatkan di dasar laut, permukaan tukun akan mula dipenuhi alga, span dan karang sebelum menjadi habitat kepada ikan, udang, ketam serta pelbagai organisma marin lain.
Proses semula jadi itu mengambil masa, namun hasilnya mampu menghidupkan semula kawasan perairan yang semakin terjejas akibat kemusnahan habitat dan aktiviti penangkapan ikan yang tidak lestari.

Di Sarawak, Projek Tukun Bebola dilaksanakan secara berfasa sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh biodiversiti marin dan meningkatkan sumber perikanan.
Fasa pertama yang bermula pada 2018 menyaksikan lebih 16,000 unit tukun bebola dilabuhkan di sepanjang perairan Sarawak, menjadikannya antara projek pemuliharaan marin terbesar di dunia.
Usaha itu diteruskan menerusi Fasa 2 dengan sasaran penempatan 5,000 unit tukun bebola di 100 kluster di seluruh perairan negeri.

Projek berkenaan bukan sahaja bertujuan memulihkan habitat marin, malah membantu menghalang pencerobohan bot pukat tunda di kawasan perikanan tradisional, sekali gus melindungi sumber rezeki nelayan tempatan.
Di Bintulu, sebanyak 80 unit tukun bebola yang terdiri daripada pelbagai reka bentuk telah diturunkan di perairan Kuala Nyalau-Samalaju sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memulihkan habitat marin di kawasan berkenaan.
Kejayaan projek ini turut bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak. Selain diterajui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), pelaksanaannya mendapat sokongan sektor korporat dan rakan strategik yang berkongsi komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Bagi masyarakat pesisir, kejayaan projek tukun bebola tidak diukur pada bilangan struktur yang dilabuhkan, tetapi pada perubahan yang berlaku beberapa tahun kemudian apabila hasil tangkapan kembali meningkat dan laut kembali dipenuhi kehidupan.
Dalam erti kata lain, setiap tukun yang ditempatkan di dasar laut bukan sekadar struktur konkrit, tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk memastikan khazanah laut Sarawak terus terpelihara dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Oleh Carolyne Utih





