
SARATOK: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dalam kejadian kemalangan jalan raya di kilometer 50.4 Jalan Sarikei-Betong berdekatan Simpang Pusa, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superitendan (DSP) Mathew Manggie, berkata mangsa iaitu penunggang motosikal yang maut berusia 51 tahun yang berasal dari Kampung Tengah Maludam.
“Lebih kurang 4.30 petang semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok menerima makluman melalui orang awam berkaitan kes kemalangan jalan raya maut di Jalan Sarikei-Betong berdekatan Simpang Pusa.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kejadian berlaku lebih kurang 4.30 petang semasa pemandu kereta jenis Toyota Camry yang sedang dalam perjalanan dari Sarikei menuju ke arah Kuching.
“Semasa tiba di tempat kejadian berdekatan Simpang Pusa di KM 50.4 Jalan Sarikei-Betong, kenderaan yang dipandu oleh pemandu berusia 48 tahun itu telah terlanggar secara tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang oleh simati yang menukar laluan secara mengejut dari kiri ke kanan jalan lalu masuk ke laluan pemandu kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Lanjut Mathew, pemandu kereta cuba mengelak namun disebabkan jarak yang sudah terlalu dekat serta tidak dapat mengelak dan terlanggar bahagian rusuk sebelah kanan motosikal mangsa.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Paramedik Hospital Saratok.
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman