Taylor Swift perkenal video muzik baharu selepas cipta rekod di VMA

Facebook
WhatsApp
TAYLOR Swift menerima anugerah Anugerah Penghormatan Pengarah Artistik di pentas pada Anugerah Muzik Video MTV (VMA) 2026 di Teater Peacock, semalam di Los Angeles, California. Foto AFP

LONDON: Taylor Swift memenangi anugerah Video Terbaik Tahun Ini, sekali gus muncul sebagai artis yang paling banyak menerima anugerah dalam sejarah Anugerah Muzik Video MTV (VMA), lapor PA Media/dpa.

Penyanyi berusia 36 tahun itu, yang sebelum ini berkongsi rekod dengan Beyoncé apabila masing-masing memenangi 30 anugerah VMA, membawa pulang anugerah utama malam itu menerusi video muzik The Fate of Ophelia.

Swift turut menjadi penerima sulung anugerah Anugerah Penghormatan Pengarah Artistik.

Beliau mendedikasikan anugerah berkenaan kepada mendiang Dolly Parton, yang digambarkannya sebagai “penghibur pentas sejati”.

TAYLOR Swift menerima Anugerah Video Terbaik Tahun Ini bagi The Fate of Ophelia daripada pengacara Snoop Dogg di pentas pada Anugerah Muzik Video MTV (VMA) 2026 di Teater Peacock, semalam di Los Angeles, California. Foto AFP

“Saya rasa kita semua amat bertuah kerana berpeluang berkongsi kehidupan di dunia ini bersama Dolly Parton untuk suatu ketika,” kata Swift.

Swift turut memperkenalkan video muzik bagi lagu baharunya, Patient Zero, buat kali pertama pada acara yang dihoskan oleh Snoop Dogg itu.

Video bagi single berkenaan yang pertama sejak beliau berkahwin dengan bintang Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) Amerika Syarikat, Travis Kelce menampilkan pelakon Colin Farrell dan Dakota Johnson.

Madonna menerima pencalonan terbanyak, iaitu 13, dan memenangi anugerah Artis Terbaik Tahun Ini serta Kolaborasi Terbaik bersama Sabrina Carpenter menerusi lagu Bring Your Love.

TAYLOR Swift menerima anugerah Anugerah Penghormatan Pengarah Artistik daripada Dakota Johnson di pentas pada Anugerah Muzik Video MTV (VMA) 2026 di Teater Peacock di Los Angeles, California. Foto AFP

Madonna turut membuat persembahan bersama Carpenter dan Charli XCX, manakala penyanyi Britain, Raye, tampil di pentas dengan persembahan medley yang merangkumi I Will Overcome dan Where Is My Husband.

Persembahan lain pada malam itu termasuk segmen penghormatan kepada Parton dan George Michael.

Nirvana pula menerima penghormatan menerusi anugerah Video Vanguard. – Bernama