
ATLANTA, Amerika Syarikat: Thomas Tuchel berkata England wajar menewaskan Republik Demokratik Congo dalam aksi Pusingan 32 Piala Dunia pada 12.00 tengah malam ini (waktu Malaysia), namun tetap berhati-hati dengan lawan yang dianggapnya telah mengatasi jangkaan untuk mara ke peringkat kalah mati.
England memburu penamat penantian 60 tahun untuk menjuarai kejohanan utama, namun memulakan kempen di Amerika Syarikat dengan prestasi kurang meyakinkan.
Kemenangan 4-2 ke atas Croatia diikuti keputusan seri tanpa jaringan menentang Ghana apabila gagal memecahkan benteng lawan.
Jaringan Jude Bellingham dan Harry Kane memastikan tiada lagi keciciran mata ketika menewaskan Panama 2-0 untuk mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan L.
Tuchel dilantik untuk membawa England yang tewas dalam dua final Kejohanan Eropah terakhir, melangkah lebih jauh, dan bekas pengendali Paris Saint-Germain, Bayern Munich serta Chelsea itu sekali lagi yakin dengan peluang pasukannya.
“Saya merasakan ia satu keistimewaan berada dalam situasi ini. Saya fikir kita boleh menerimanya, kami adalah pilihan (menentang DR Congo),” kata Tuchel dalam sidang media pra-perlawanan pada Selasa.
“Kami bermain mengikut jangkaan kami sendiri, kami menjangkakan untuk mara lebih jauh daripada pusingan 32, itulah realitinya, jadi mengapa penyokong tidak menjangkakannya? Mengapa pandangan umum tidak sama?” tambah pengendali berusia 52 tahun dari Jerman itu.
Dua kuasa besar Eropah sudah tersingkir selepas Jerman dan Belanda tewas menerusi penentuan penalti kepada Paraguay dan Maghribi dalam pusingan 32.
Tuchel berkata penyingkiran itu serta kemenangan tipis Brazil dan Kanada menunjukkan betapa sengitnya saingan ketika berdepan DR Congo yang memberikan cabaran kepada Portugal dan Colombia di peringkat kumpulan.
“Kami menjangkakan apa yang kami jangkakan, tetapi kami menghormati lawan, kami tahu kualiti mereka,” tambah Tuchel.
“Perlawanan setakat ini dalam pusingan 32 memberikan gambaran yang jelas. Ia perlawanan yang sangat ketat, margin yang kecil.
Secara peribadi, ia membuatkan saya lebih tenang, bukan lebih gementar, kerana itulah hakikatnya.” – AFP