KUCHING: Inisiatif Sarawak (TSI) akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh integriti, membanteras rasuah serta meningkatkan kesiapsiagaan Sarawak dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pembangunan negeri.
Pengerusi TSI, Datuk John Tenewi Nuek berkata, dua inisiatif utama yang akan diberi perhatian ialah penganjuran Forum Integriti TSI dan penubuhan Komuniti Kecerdasan Buatan (AI) TSI.
“Peningkatan tahap integriti dan usaha mewujudkan toleransi sifar terhadap rasuah perlu menjadi keutamaan kerana amalan tersebut telah menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit.
“Bayangkan berapa banyak sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan yang boleh dibina dengan jumlah wang tersebut,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TSI 2026.
Tambahnya, masyarakat berintegriti bukan sahaja dapat mengurangkan kerugian kewangan, malah meningkatkan maruah negara serta keyakinan pelabur dan rakan antarabangsa.
“Forum Integriti TSI akan menghimpunkan pelbagai pihak bagi menghasilkan resolusi praktikal dan boleh dilaksanakan dalam memperkukuh integriti serta menangani rasuah,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut beliau penubuhan Komuniti AI TSI bertujuan menyediakan platform kepada golongan muda dan masyarakat untuk memahami serta menggunakan teknologi AI secara berkesan.
“Inisiatif ini juga dapat membantu merapatkan jurang teknologi antara kawasan bandar dengan luar bandar selain meningkatkan daya saing perniagaan tempatan menerusi penggunaan analisis data, automasi pertanian dan proses pembuatan pintar.
“Ini akan membantu memperkukuh ekonomi akar umbi dan memastikan manfaat kemajuan teknologi dapat dinikmati masyarakat di seluruh Sarawak,” tambahnya.
Beliau turut menggesa ahli dan penyokong TSI supaya bersama-sama membangunkan rangkaian Komuniti AI bagi memastikan kejayaan inisiatif berkenaan.
Sementara itu, AGM TSI 2026 turut menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu tanpa bertanding dengan Datuk John Tenewi Nuek dilantik sebagai Pengerusi, Datu Azmi Bujang sebagai Timbalan Pengerusi, Dr John Chew sebagai Setiausaha dan Nathaniel Min Shan Reducto sebagai Bendahari.
Ahli jawatankuasa terdiri daripada Dr Lucy Sebli, Dr Ipoi Datan, Patrick Sibat, John Selvaraj dan Derrick Law. TSI menegaskan komitmennya untuk menyumbang kepada pembangunan Sarawak berteraskan pendidikan, integriti, inovasi dan ekonomi yang kukuh.





