KAMI JUARA… Pasukan Trass Merah dan PMRS Politeknik Metro Betong masing-masing mengungguli kategori lelaki dan wanita Pertandingan Tarik Tali Gawai Dayak Bahagian Betong.
PASUKAN Trass Merah membuktikan keunggulan apabila muncul sebagai juara Pertandingan Tarik Tali Gawai Dayak Bahagian Betong bagi kategori lelaki bertempat di Politeknik Metro, dekat sini semalam.
Trass Merah dalam aksi pertandingan akhir tersebut berjaya menundukkan pasukan Felcra B dalam pertarungan yang penuh dramatik itu.
Kejayaan bergelar juara itu sekali gus membolehkan pasukan Trass Merah membawa membawa pulang wang tunai RM400 beserta piala dan hamper.
Pasukan Felcra B pula yang muncul naib juara membawa pulang RM300 juga beserta piala dan hamper. Manakala Tempat ketiga menjadi milik pasukan Felcra A dan sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM200, piala dan hamper.
Lima pasukan yang gagal melayakkan diri ke pusingan akhir masing-masing memperolehi hadiah saguhati sebanyak RM50 dan hamper.
Sementara itu, bagi kategori wanita pula, pasukan PMRS Politeknik Metro Betong berjaya muncul juara selepas menundukkan pasukan Rawak Local dalam aksi akhir itu semalam.
Kejuaraan itu membolehkan PMRS Politeknik Metro Betong membawa membawa pulang wang tunai RM400 beserta piala dan hamper, manakala pasukan Rawak Local yang berada ditempat kedua membawa pulang RM300 juga beserta piala dan hamper.
Manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Tebilang Wanita dan sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM200, piala dan hamper.
Dalam pada itu, Pertandingan Tarik Tali Gawai Dayak Bahagian Betong 2022 yang dianjurkan oleh Bomba dan Penyelamat Betong itu telah disertai sebanyak tujuh pasukan lelaki dan tiga pasukan wanita.
Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dr. Richard Rapu.
Turut hadir Pengerusi Induk Sambutan Gawai Peringkat Bahagian Betong 2022, Ujai Sambau dan Pengerusi Pertandingan Tarik Tali Sempena Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong 2022, PBK I Henry Jugah.
Oleh ADI SAFARMAN