Argentina buat tiga perubahan, Sepanyol kekalkan kesebelasan sama bagi final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Argentina yang diketuai Lionel Messi melakukan tiga perubahan dalam kesebelasan utama bagi aksi final Piala Dunia menentang Sepanyol pada 3.00 pagi ini, ketika juara bertahan itu memburu gelaran kedua berturut-turut, sesuatu yang kali terakhir dicapai pada 1962.

Jurulatih Lionel Scaloni menurunkan Gonzalo Montiel di posisi bek kanan menggantikan Nahuel Molina. Montiel sebelum ini menjaringkan sepakan penalti kemenangan ketika Argentina menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti pada final Piala Dunia 2022.

Dua lagi perubahan menyaksikan Rodrigo De Paul kembali mengemudi jentera tengah, manakala Nico Gonzalez turut disenaraikan dalam kesebelasan utama. Leandro Paredes dan Giuliano Simeone pula digugurkan.

Argentina mara ke pentas final selepas menewaskan England 2-1 pada aksi separuh akhir di Atlanta, Khamis lalu (waktu Malaysia), hasil kebangkitan dramatik pada penghujung perlawanan.

Messi, 39, membuat penampilan ketiga dalam final Piala Dunia dan memulakan perlawanan dengan lapan gol sepanjang kejohanan, hanya dua gol di belakang penyerang Perancis, Kylian Mbappe, dalam perebutan Kasut Emas.

Kapten Argentina itu juga sudah meledak 21 gol keseluruhan di pentas Piala Dunia, hanya satu gol di belakang rekod Mbappe yang mengumpul 22 jaringan.

Sementara itu, jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, mengekalkan kesebelasan utama yang membantu pasukannya menewaskan Perancis 2-0 pada aksi separuh akhir.

Lamine Yamal, yang berpeluang muncul pemain ketiga termuda memenangi Piala Dunia hanya enam hari selepas menyambut ulang tahun ke-19, sekali lagi diberi kepercayaan mengisi posisi sayap kanan buat juara Eropah itu.

Sepanyol memburu gelaran Piala Dunia kedua selepas kejayaan sulung pada edisi 2010.

Sekiranya Argentina muncul juara, ia akan menjadi gelaran keempat negara Amerika Selatan itu, sekali gus menyamai pencapaian Jerman dan Itali serta hanya ketinggalan satu gelaran di belakang Brazil yang memegang rekod lima kejuaraan.

Kesebelasan utama

Sepanyol: Unai Simon; Pedro Porro, Pau Cubarsi, Aymeric Laporte, Marc Cucurella; Rodri (kapten), Fabian Ruiz; Lamine Yamal, Dani Olmo, Alex Baena; Mikel Oyarzabal.

Jurulatih: Luis de la Fuente (Sepanyol).

Argentina Emiliano Martinez; Gonzalo Montiel, Cristian Romero, Lisandro Martinez, Nicolas Tagliafico; Rodrigo De Paul, Alexis Mac Allister, Nico Gonzalez; Enzo Fernandez; Lionel Messi (kapten), Julian Alvarez.

Jurulatih: Lionel Scaloni (Argentina).

Pengadil: Slavko Vincic (Slovenia). – AFP