Final Piala Dunia 2026: Sepanyol, Argentina buru kejuaraan dan hadiah AS$50 juta

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Siapakah yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$50 juta (kira-kira RM204.8 juta)?

Persoalan itu bakal terjawab apabila Sepanyol dan juara bertahan Argentina berentap pada aksi final Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadual berlangsung pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia).

Argentina mara ke pentas final selepas menewaskan England 2-1 manakala Sepanyol mengalahkan Perancis 2-0 pada saingan separuh akhir. 

Perlawanan akhir itu akan berlangsung di Stadium New York New Jersey di East Rutherford, Amerika Syarikat yang berkapasiti 80,663 penonton.

Menurut FIFA, juara edisi kali ini bakal menerima ganjaran terbesar dalam sejarah kejohanan susulan kelulusan sumbangan kewangan keseluruhan berjumlah AS$727 juta (kira-kira RM2.98 bilion).

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$655 juta (kira-kira RM2.68 bilion) diperuntukkan sebagai hadiah wang tunai kepada 48 pasukan yang bertanding, meningkat 50 peratus berbanding edisi sebelumnya.

Sementara dunia menantikan sama ada Argentina mampu meraih gelaran dunia keempat selepas muncul juara pada 1978, 1986 dan 2022 atau Sepanyol menjulang trofi buat kali kedua sejak 2010, ganjaran kewangan yang ditawarkan turut mencipta sejarah.

Struktur hadiah FIFA memperuntukkan AS$33 juta (kira-kira RM135.16 juta) kepada naib juara, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima AS$29 juta (kira-kira RM118.78 juta) dan AS$27 juta (kira-kira RM110.59 juta).

Badan induk bola sepak dunia itu turut memaklumkan tiada pasukan yang pulang dengan tangan kosong apabila setiap Persatuan Ahli yang layak dijamin menerima sekurang-kurangnya AS$10.5 juta (kira-kira RM43.01 juta), termasuk geran persediaan berjumlah AS$1.5 juta (kira-kira RM6.14 juta) bagi setiap pasukan yang layak.

Malah, pasukan yang tersingkir seawal pusingan pertama dengan kedudukan antara tangga ke-33 hingga ke-48 tetap menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$9 juta (kira-kira RM36.86 juta).

Dalam pada itu, kos untuk menyaksikan sendiri aksi final berprestij itu di stadium juga tidak kurang hebatnya.

Semakan Bernama di portal rasmi Tickets & Hospitality FIFA mendapati pakej hospitaliti eksklusif  Trophy Lounge ditawarkan pada harga bermula AS$29,000 (kira-kira RM118,781.10) seorang, manakala pakej Champions Club bermula pada harga AS$19,000 (kira-kira RM77,822.10) seorang.

Sementara itu, pakej FIFA Pavilion ditawarkan pada harga bermula AS$17,000 (kira-kira RM69,630.30) seorang.

Bagi penyokong yang masih ingin mendapatkan tiket pada saat akhir, tiket Kategori 1 dijual pada harga AS$10,990 (kira-kira RM45,013.94), manakala tempat duduk premium Front Category 1 ditawarkan pada harga antara AS$21,995 (kira-kira RM90,089.32) hingga AS$24,995 (kira-kira RM102,377.02). – Bernama

Sepanyol musnahkan impian perpisahan Messi

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Ferran Torres muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk membawa Sepanyol menewaskan juara

Sepanyol musnahkan impian perpisahan Messi

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Ferran Torres muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk membawa Sepanyol menewaskan juara