Barisan bintang dunia hangatkan persembahan masa rehat final

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

EAST RUTHERFORD: Madonna, Shakira, Justin Bieber, BTS dan Coldplay mengetuai barisan artis yang menjayakan persembahan masa rehat pertama dalam sejarah perlawanan akhir Piala Dunia FIFA, sebentar tadi.

Persembahan bertaraf dunia ala Super Bowl itu turut menampilkan legenda bola sepak Brazil, pelakon siri Ted Lasso, penghormatan khas kepada ikon bola sepak dunia, Pele, serta persembahan lagu ikonik Seven Nation Army yang diketuai konduktor Gustavo Dudamel bersama pemuzik dari Amerika Syarikat, Venezuela dan Iran.

Watak daripada Sesame Street dan The Muppets turut muncul di pentas bersama Coldplay serta koir sebuah sekolah rendah di New York bagi menutup persembahan yang bertujuan mengumpul dana untuk Dana Pendidikan FIFA Global Citizen, yang memperluaskan akses kepada pendidikan dan sukan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

Persembahan selama 12 minit itu menyebabkan waktu rehat perlawanan akhir antara Sepanyol dan Argentina dilanjutkan kepada 27 minit.

Persembahan Terbesar Sejak Live Aid

Penganjur menyifatkan persembahan itu sebagai “himpunan artis terbesar yang bersatu demi satu tujuan sejak konsert Live Aid” serta “persembahan muzik televisyen selama 11 minit yang paling banyak ditonton dalam sejarah.”

Presiden FIFA, Gianni Infantino, meramalkan acara itu akan ditonton oleh “beberapa bilion” penonton di seluruh dunia.

Walaupun ada pihak mempersoalkan tempoh rehat yang lebih panjang dan kemungkinan menjejaskan prestasi pemain, persembahan itu sebenarnya sedikit lebih singkat berbanding persembahan masa rehat Super Bowl yang lazimnya berlangsung antara 13 hingga 14 minit.

Sorakan penonton bergema apabila Madonna membuka persembahan dengan memasuki stadium menaiki kenderaan buggy yang dipandu legenda Brazil, Ronaldo dan Ronaldinho, melalui terowong bawah Stadium MetLife.

Persembahan lagu Music kemudian disusuli persembahan orkestra yang menggabungkan New York Philharmonic, Orkestra Simfoni Simon Bolivar dari Venezuela serta pemain biola Iran, Bijan Mortazavi, membawakan lagu Seven Nation Army, yang terkenal sebagai lagu sorakan di stadium bola sepak.

Rakaman sambutan penyokong Norway dengan aksi ‘Viking Row’ sepanjang kejohanan menjadi pembuka kepada persembahan BTS yang menyampaikan lagu popular Dynamite, dengan lirik yang diubah suai bersempena Piala Dunia.

Pelakon Ted Lasso, Jason Sudeikis dan Brendan Hunt, kemudian membuat kemunculan mengejut sebelum memperkenalkan bintang pop Kanada, Justin Bieber, yang menyampaikan versi khas lagu Everything Hallelujah sempena Piala Dunia.

Shakira bersama penyanyi Nigeria, Burna Boy, menghangatkan suasana dengan mempersembahkan lagu tema rasmi Piala Dunia 2026, Dai Dai, diiringi penari dari Uganda.

Penghormatan Kepada Pele

Skrin gergasi turut menayangkan rakaman Pele ketika berucap di Stadium Giants pada 1977 selepas perlawanan profesional terakhirnya. Legenda Brazil itu meninggal dunia pada 2022, beberapa bulan selepas Piala Dunia sebelum ini.

Persembahan diakhiri oleh koir PS22 Chorus dari New York bersama Coldplay, yang diketuai vokalisnya Chris Martin selaku kurator keseluruhan persembahan, selain disertai watak daripada The Muppets dan Sesame Street.

Menurut penganjur, Dana Pendidikan FIFA Global Citizen menjadi pemacu utama penganjuran persembahan tersebut.

Dana itu menyalurkan bantuan kepada pertubuhan komuniti yang menyediakan pendidikan dan peluang bersukan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di beberapa negara termasuk Ghana, Afrika Selatan, Perancis dan United Kingdom.

Dana berkenaan menyasarkan kutipan AS$100 juta dan telah melepasi AS$60 juta sebelum final berlangsung, termasuk sumbangan AS$1 bagi setiap tiket Piala Dunia yang dijual, selain sumbangan syarikat korporat, kerajaan dan penderma persendirian.

FIFA turut mengumumkan 58 pertubuhan akan menerima geran tersebut, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 kanak-kanak di seluruh dunia.

Sebelum sepak mula, beberapa selebriti turut menghiburkan penonton apabila Post Malone mengetuai persembahan majlis penutup, manakala Tom Cruise menyampaikan ucapan mengenai bola sepak sebagai penyatu dunia, walaupun suaranya hampir tenggelam oleh nyanyian dan sorakan penyokong di stadium.

Robbie Williams, Nicole Scherzinger dan Jennifer Hudson turut membuat persembahan sepanjang acara itu. — AFP