KUCHING: Permintaan yang tinggi selain sambutan menggalakkan daripada penggemar nanas menyuntik semangat Kumpulan Ta Ann untuk mentransformasikan penghasilan tanaman nanas MD2 secara meluas.
Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo ketika ditemui pemberita berkata, dahulu, kumpulan itu menjual nanas MD2, bagaimanapun, kini mengambil inisiatif untuk mentransformasikan nanas itu kepada jus nanas dan tart nanas.
“Kelebihan jus nanas yang dihasilkan oleh Kumpulan Ta Ann untuk dipasarkan kepada orang ramai ialah kemanisan yang dirasai dalam jus itu ialah asli daripada nanas itu sendiri, tanpa penambahan gula.
“Selain itu, penanaman nanas itu bebas racun perosak,” katanya ketika ditemui pemberita di pasar tani semula jadi yang diadakan sebulan sekali di pekarangan tempat letak kereta di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Katanya lagi, tanaman nanas jenis MD2 ini paling mudah kerana tidak perlu dijaga selalu dan tidak mudah rosak.
Bagi orang ramai yang berminat untuk merasai jus nanas MD2 yang asli, boleh menghubungi 019-859 3989 dan 013-9328906.
Untuk rekod, nanas mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi dan amat diperlukan untuk kesihatan dalam membantu menyembuhkan luka atau cedera di samping penyerapan zat besi ke dalam saluran darah.
Kandungan Vitamin B di dalam nanas terutamanya B1 (thiamin) berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan melicinkan proses pencernaan dalam usus manakala Vitamin B3 (niacin) bersama kandungan kabohidratnya dapat mengawal sistem penghadaman agar sentiasa sihat.
Kandungan potassium bersama-sama sodium di dalam nanas dapat mengawal imbangan air dalam tubuh manusia.
Selain itu, nanas juga mengandungi sejenis enzim yang sangat berguna di dalam sektor perubatan iaitu enzim Bromelin di mana ia digunakan dalam meluas semasa pembedahan di dalam mengawal pembengkakkan, jangkitan dan menghalang berlakunya pembekuan darah.
Oleh Melvera Munded