SIBU: Perjalanan balik seorang lelaki setelah melawat abang iparnya yang sakit tenat di Sarikei bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Jalan Peradom di sini petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dikenali sebagai Yii Kheng Ang, 64, terbunuh selepas kereta yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori yang membawa muatan tong gas kosong.
“Pada sebelah pagi, mangsa datang ke Balai Lanang di sini untuk mengisi Borang Pergerakan ke Sarikei untuk melawat abang iparnya yang berusia 85 tahun yang sakit tenat.
“Bagaimananpun, dalam perjalanan balik ke Sibu, mangsa terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Menurut Stanley, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori yang bergerak dari arah Jalan Lanang Sibu menuju ke Bintangor dilanggar oleh sebuah kereta yang bergerak dari arah Sarikei menuju ke Sibu, yang tiba-tiba memasuki jalan bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan maut ditempat kejadian manakala pemandu lori dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, PgKB I Janggan Muling, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut kira-kira 1.03 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu diarahkan ke lokasi.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan dengan menggunakan ‘Resque Tool”.
“Setelah memastikan keadaan terkawal, pihak bomba bertolak balik ke balai sekitar 1.48 petang,” ujarnya.