SPAOH: Golongan belia dan penduduk Rumah Panjang Luban Ulu bakal menikmati kemudahan sukan yang lebih selesa dan selamat apabila Gelanggang Futsal Luban Ulu dinaik taraf menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM150,000.
Projek berkenaan dilaksanakan bagi menggantikan dan memperbaiki kemudahan gelanggang yang semakin usang, termasuk permukaan lantai yang rosak, cat yang semakin pudar serta pagar yang turut mengalami kerosakan.
Naik taraf itu dijangka memberi nafas baharu kepada gelanggang berkenaan, sekali gus menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk aktiviti futsal serta pelbagai kegiatan sukan komuniti.
Kemudahan tersebut amat penting, khususnya kepada golongan belia yang aktif bersukan, selain berpotensi menjadi platform untuk mengeratkan hubungan sesama penduduk rumah panjang.
Sesi serah tapak projek yang berlangsung semalam dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta wakil kontraktor, Mara Pertama Enterprise.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penyediaan kemudahan sukan yang baik penting bagi menggalakkan golongan belia terus aktif dalam kegiatan fizikal.
“Anak-anak muda kita memang aktif dalam sukan. Jadi, kita mahu mereka mempunyai tempat yang sesuai untuk bersukan, bukan sahaja dengan lebih selesa tetapi juga dalam keadaan yang lebih selamat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, gelanggang berkenaan turut berperanan dalam memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan belia serta penduduk rumah panjang.
“Melalui sukan, anak-anak muda dapat membina disiplin, semangat berpasukan dan hubungan yang baik sesama mereka. Saya berharap apabila gelanggang ini siap nanti, ia digunakan secara aktif oleh belia dan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Lawrence Ludan berkata, masyarakat setempat amat menghargai usaha menaik taraf gelanggang berkenaan memandangkan kemudahan itu sering digunakan oleh golongan belia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas Uggah dan Kerajaan Sarawak atas perhatian serta peruntukan RTP yang membolehkan projek tersebut dilaksanakan.
Projek yang dilaksanakan oleh Mara Pertama Enterprise itu dijangka menyediakan ruang yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk Luban Ulu untuk meneruskan aktiviti futsal, di samping menggalakkan lebih ramai penduduk terlibat dalam kegiatan sukan dan komuniti.
Oleh Adi Safarman




