SIBU: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dihempap dahan pokok ketika menjalankan kerja pembersihan di kebun durian di belakang sebuah sekolah berhampiran rumah panjang di Sungai Spau, Jalan Stabau, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada bilik gerakan mengenai kejadian itu sekitar 11.00 pagi.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa sedang membersihkan kebun bersama anak lelakinya sebelum dihempap dahan pokok.
“Mangsa yang berusia 64 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan bahu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sibu yang hadir ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah panjang oleh ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.
Oleh Akun Giman





