Toyota Innova, bot fiber musnah dalam kebakaran di Taman Melati Fasa 2 Saratok

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SARATOK: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Innova dan sebuah bot gentian kaca (fiber) musnah dalam kebakaran di Taman Melati Fasa 2, di sini, petang ini.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.49 petang.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok yang diketuai Komander Operasi, PBK I Muhammad Hafiz Adris, tiba di lokasi kejadian pada 4.54 petang selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira empat kilometer.

Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah Toyota Innova terbakar sepenuhnya, manakala sebuah bot gentian kaca yang berada berhampiran turut dijilat api sehingga musnah 100 peratus.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos, dua nozel, pam jentera serta sumber air daripada tangki jentera bagi mengawal dan memadam kebakaran.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 5.00 petang sebelum anggota meneruskan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Seramai sembilan anggota BBP Saratok terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Oleh Adi Safarman