MIRI: Sebuah tongkang dan kenderaan pelbagai guna (MPV) tersadai di Pantai Lutong di sini, semalam, menarik perhatian orang ramai.
Kemunculan tongkang dan kereta jenis Toyota Avanza itu disedari orang awam yang kebetulan melalui kawasan pantai berkenaan sekitar 8.00 pagi sebelum beberapa keping gambar tongkang dan kereta itu tular di media sosial Facebook.
Difahamkan, tongkang tersebut dipercayai putus tali pengikat mengakibatkan dihanyutkan ombak sebelum terdampar di tepi pantai itu.
Manakala, kereta tersebut dikatakan diparkir di kawasan pantai tersebut sejak petang kelmarin setelah tersekat pada pasir dan tidak sempat dialihkan ketika air pasang menyebabkan kenderaan itu hanyut dan ditenggelami air.
Setakat ini, pemilik tongkang itu belum menarik keluar tongkang berkenaan yang masih tersadai di pantai berkenaan manakala kenderaan tersebut sudah ditarik ke darat sekitar 11.30 pagi pada hari yang sama.
Terdahulu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng diketuai Jessbent Jenus bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.32 pagi bagi menyelamatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditenggelami air.
Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati sebuah kereta tersangkut dan terdapat seorang lelaki di dalam kereta tersebut.
Lelaki berumur 26 tahun itu berjaya diselamatkan.
Difahamkan, sebelum kejadian kereta tersebut tersekat pada pasir di pantai berkenaan dan pemandunya tidur dalam kenderaan tersebut kerana bimbang keretanya dicuri.
Oleh Liong Chai Ling