KUCHING: Penduduk di Daerah Kuching dan Kota Samarahan bakal menikmati penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bermula tahun hadapan.
Tong gas bewarna merah ini akan dijual pada harga RM26.60.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, #TongGasKamek #TongGasKitai bewarna merah akan berada di pasaran untuk memasak di kedai-kedai makan, gerai-gerai menjual makanan, di restoran atau di rumah yang pasti akan menjadi kebanggaan rakyat Sarawak.
“Hari ini (semalam), saya menunaikan janji kepada rakyat dengan tong gas berwarna merah kini tiba di pasaran menandakan bahawa, PETROS, syarikat minyak dan gas negeri ini semakin giat berkecimpung dalam sektor hiliran industri minyak dan gas di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian LPG PETROS di Kubah Ria, di sini semalam.
Tambahnya, gas asli yang berada di perut bumi Sarawak, sama ada di daratan atau di luar pantai bumi bertuah ini adalah bagaikan permata mahkota untuk Sarawak.
“Sarawak mempunyai lebih daripada 60 peratus simpanan gas negara dan merupakan pengeluar gas asli terbesar di negara ini.
“Sarawak biasa dikenali sebagai negeri minyak, tetapi sebenarnya kita patut juga dikenali sebagai negeri gas,” ujarnya.
Jelasnya Kerajaan Sarawak juga telah berbincang dengan kerajaan Indonesia khususnya di Kalimantan Barat untuk mengimport gas PETROS milik kerajaan Sarawak ini ke sana.
“Kita (kerajaan Sarawak) sudah bersetuju untuk menjual tong gas merah ini ke Kalimantan Barat khasnya di kawasan perkampungan yang berdekatan sempadan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah PETROS Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo memberitahu, gas ini akan dipasarkan ke seluruh Sarawak pada tahun 2022.
“Kita menjangkakan, dalam empat hingga lima tahun lagi setiap isi rumah akan dapat menikmati penggunaan gas PETROS,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN / AINI AFIFAH