
BINTULU: Pusat Khidmat Parlimen Bintulu yang dipimpin oleh Dato’ Seri Tiong King Sing akan terus beroperasi seperti biasa dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, meskipun beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurut Tiong, kehadiran fizikal seorang wakil rakyat bukanlah ukuran utama terhadap komitmen dan keprihatinan kepada masyarakat.
Sebaliknya, kesediaan untuk berkhidmat secara berterusan dan konsisten adalah keutamaan sebenar.
“Walaupun saya kini memegang portfolio Menteri, hati saya sentiasa bersama rakyat Bintulu.
“Pasukan Pusat Khidmat Ahli Parlimen saya akan terus turun padang dan menabur bakti kepada komuniti setempat.
“Jika ada keperluan, orang ramai boleh terus menghubungi saya melalui mesej, WhatsApp atau panggilan telefon,” katanya.
Tiong berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, semasa Majlis MOTAC Bersama Komuniti @Bintulu 2025 di Jepak, malam tadi.
Dalam ucapannya itu, Tiong turut menyarankan masyarakat agar tidak segan untuk berkongsi pandangan dan menyuarakan kebimbangan secara terbuka, demi memperkukuh hubungan dua hala antara pemimpin dan rakyat.
“Saya berharap program seperti ini dapat mengeratkan silaturahim dalam suasana yang santai dan bebas daripada protokol rasmi.
“Tidak kira sama ada kita pegawai kerajaan atau ahli politik, kita semua adalah satu keluarga besar yang duduk semeja untuk bertukar pandangan dan mencetus idea demi kemajuan bersama,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih