Pembangunan Sarawak perlu tinggalkan manfaat untuk generasi akan datang

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak pada sesi perbincangan bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) di Ibu Pejabat ADB, di Manila, hari ini. Foto UKAS.

MANILA: Perancangan pembangunan Sarawak perlu mengambil kira keperluan jangka panjang bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati bukan sahaja rakyat hari ini, malah generasi akan datang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemimpin perlu memastikan perancangan yang dibuat mampu meninggalkan legasi pembangunan yang memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat.

“Apabila kita berada di sini, kita perlu meninggalkan satu legasi yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Perubahan merupakan satu-satunya perkara yang berterusan dan masyarakat perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan serta menjangka perkembangan yang bakal berlaku,” katanya dalam sesi perbincangan bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) di Ibu Pejabat ADB, di Manila, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu menjadi asas kepada perancangan jangka panjang Sarawak yang merangkumi sektor tenaga, teknologi, pengangkutan dan pembangunan ekonomi.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata perkembangan teknologi baharu turut memainkan peranan dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri, termasuk penggunaan teknologi hidrogen bagi sistem pengangkutan awam Transit Aliran Autonomi (ART).

Katanya, teknologi baharu mungkin memerlukan kos yang tinggi pada peringkat awal, namun perkembangan teknologi berpotensi mengurangkan kos tersebut pada masa hadapan.

“Hidrogen memang mahal pada masa ini, tetapi mungkin ada teknologi baharu yang akan mengurangkan kos menghasilkan hidrogen,” katanya.

Abang Johari berkata, perancangan pembangunan Sarawak juga perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi, kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata ketiga-tiga aspek berkenaan perlu bergerak seiring bagi memastikan pembangunan negeri kekal mampan dan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka panjang.

Sesi perbincangan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Premier Sarawak ke Ibu Pejabat ADB di Manila.