BEKENU: Orang ramai setuju jika anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditempatkan di sekitar pekan Bekenu dan Batu Niah ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3) Fasa Ketiga ini.
Tinjauan Utusan Sarawak di sekatan jalan di KM10 Jalan Persisiran Pantai Miri Bintulu semalam mendapati lebih lima buah lori ATM dalam perjalanan menuju ke arah Batu Niah dan Bintulu pagi semalam.
Jembu Jiram dari Niah ketika dihubungi berkata, memang lebih baik jika ada anggota ATM ditempatkan di Batu Nian untuk kawalan pergerakan orang ramai bagi memendungi wabak Covid-19.
“Dalam beberapa hari yang lepas, orang ramai sangat bebas bergerak di Batu Niah dan begitu juga di Bekenu.
“Jika individu keluar ke pasar tanpa tujuan dan alasan kukuh, harap pihak PDRM dan ATM mengenakan tindakan keras terhadap mereka itu,” jelasnya.
Sementara itu, Micheal Sait dari Bekenu berkata, seharusnya kawasan yang kekurangan anggota PDRM dan RELA perlu ada anggota ATM untuk membantu kawalan PKP3.
Katanya, berita di akhbar tempatan tentang sebuah bank di Batu Niah telah dipenuhi orang ramai sangat digerun terutamanya tentang wabak Covid-19.
“Sosial dan jarak tidak dikawal sebab Daerah Subis masih zon hijau, zon hijau akan tercemar jika wabak Covid-19 merebak dan keadaan boleh menjadi teruk daripada sekarang.
“Virus itu tidak dapat nampak, kalau boleh dilihat dengan mata kasar senang dielak, maka itu diharapkan semua pihak perlu bertanggungjawab jangan pandang ringan,” jelasnya.
Justeru itu, orang ramai dinasihat sekerasnya untuk menjaga kesihatan dan kebersihan masing-masing, terus bekerjasama patuhi PKP dengan duduk diam di rumah.