Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Tiket mahal, harapan kepada AirBorneo
  • KOLUMNIS

Tiket mahal, harapan kepada AirBorneo

Utusan Sarawak 7 hours ago

APABILA AirBorneo mula mengambil alih operasi MASwings pada Januari lalu, rakyat Sarawak menaruh harapan besar untuk melihatnya sebagai satu langkah berani dan luar biasa.

Ia bukan sekadar pertukaran nama, malah membawa warna kebanggaan rakyat Sarawak untuk terbang lebih tinggi, di samping memahami keperluan rakyat di wilayah ini dengan lebih dekat.

Namun, dalam lima bulan beroperasi, rakyat masih terus berharap. Mereka mahu melihat harga tiket yang lebih rendah dan laluan penerbangan yang lebih banyak ditawarkan.

Kekerapan penerbangan juga diharapkan dapat ditambah supaya penumpang mempunyai pilihan waktu yang lebih fleksibel. Tidak kurang juga harapan agar budaya dan makanan tempatan dapat dibawa bersama dalam setiap penerbangan AirBorneo.

Selain berharap, rakyat juga turut berasa resah dengan isu pembatalan dan penjadualan semula penerbangan yang sering menyusahkan penumpang. Rakyat terkesan terpaksa menanggung kerugian bukan hanya wang malah masa yang terbazir.

Bagi kebanyakan orang awam, apabila kerajaan sendiri memberi sokongan dan jaminan terhadap syarikat ini, banyak perkara dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan cepat. Malahan, apa-apa masalah atau isu berbangkit mesti boleh diselesaikan.

Sebagai rakyat, kita memang berhak untuk menyuarakan hal sebegini. Namun pada masa sama, kita juga perlu menilai AirBorneo dengan neraca yang adil. Syarikat ini belum pun melepasi tahun pertama operasinya.

AirBorneo masih berada dalam fasa membina asas. Ia sedang menstabilkan sistem, menyusun rangkaian laluan, menyelaraskan sumber manusia dan mempersiapkan langkah seterusnya. Mungkin juga ada yang menjangkakan AirBorneo sepatutnya matang sepenuhnya sejak hari pertama beroperasi.

Hakikatnya, sebuah syarikat penerbangan tidak hanya bergerak dengan logo, warna pesawat dan kaunter tiket. Di sebalik setiap penerbangan terdapat sistem tempahan, pengurusan bagasi, jadual kru, penyelenggaraan pesawat, kelulusan laluan, slot lapangan terbang, peraturan keselamatan dan hubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

HARAPAN agar budaya dan makanan tempatan dapat dibawa bersama dalam setiap penerbangan AirBorneo. Gambar janaan AI semata-mata.

Dengan armada turboprop seperti ATR 72-500 dan DHC-6-400 Twin Otter, AirBorneo masih perlu menumpukan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) sebagai tanggungjawab teras yang diwarisi daripada MASwings.

Bagi penumpang biasa, penjelasan ini mungkin kedengaran terlalu teknikal. Mereka hanya mahu perjalanan yang mudah, iaitu membeli tiket, mendaftar masuk, menaiki pesawat dan tiba ke destinasi tanpa gangguan.

Namun dalam industri penerbangan, perkara yang kelihatan mudah di hadapan kaunter sebenarnya sangat bergantung kepada jaringan sistem yang sangat kompleks. Apabila sesuatu sistem belum cukup matang, kesannya boleh dirasai secara langsung oleh penumpang.

Oleh sebab itu AirBorneo tidak sewajarnya dinilai dengan ukuran yang sama seperti syarikat penerbangan yang telah beroperasi puluhan tahun. Namun begitu, AirBorneo juga tidak boleh terlalu lama bersembunyi di sebalik alasan masih baharu kerana rakyat sedang menilai dengan penuh perhatian.

Tambang rendah tuntutan utama rakyat

Tambang rendah dan mampu bayar sentiasa menjadi tuntutan utama rakyat Sarawak. Bagi mereka, tiket kapal terbang bukan kemewahan. Ia seakan keperluan hidup, lebih-lebih lagi apabila jarak antara bandar, kawasan pedalaman dan Semenanjung Malaysia begitu jauh sehingga tiada pilihan melainkan laluan udara sahaja yang praktikal untuk digunakan.

Pengalaman penerbangan bukan hanya untuk mereka yang melancong, tetapi juga untuk pesakit, pelajar, pekerja dan ahli keluarga yang perlu bergerak atas urusan masing-masing.

Oleh itu, apabila kerajaan Sarawak menjadi pemilik AirBorneo, ramai yang beranggapan harga tiket mesti lebih rendah berbanding syarikat penerbangan komersial lain.

Tanggapan ini wajar kerana rakyat melihat AirBorneo lahir daripada keperluan mereka sendiri, bukan semata-mata daripada pertimbangan pasaran.

Namun harga tiket penerbangan tidak boleh ditentukan oleh sentimen sahaja. Ia dipengaruhi oleh permintaan, musim perjalanan, corak tempahan, harga bahan api, kos penyelenggaraan dan tahap persaingan pada sesuatu laluan.

Jadi cabaran terbesar AirBorneo terletak pada keupayaannya untuk memacu mandat sosial tanpa mengabaikan disiplin komersial. Jika tambang terlalu murah tanpa asas kewangan yang kukuh, operasi boleh terjejas. Jika terlalu mahal pula, kepercayaan rakyat akan merosot.

Salah faham lain yang kerap timbul ialah anggapan bahawa semua laluan utama dalam Sarawak boleh terus dikendalikan dengan segera. Ramai mempersoalkan mengapa AirBorneo tidak terus menyediakan penerbangan yang lebih menyeluruh antara Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Dari sudut rakyat, persoalan ini sangat munasabah. Namun dari perspektif operasi, laluan antara bandar utama tidak termasuk dalam kategori RAS. Ia laluan komersial yang perlu dinilai berdasarkan permintaan, jumlah pesawat yang boleh digerakkan dan keupayaan menjana hasil yang mencukupi.

Dalam konteks ini, AirBorneo sememangnya boleh memohon untuk mengendalikan laluan komersial seperti Kuching ke Sibu, Bintulu dan Miri. Namun setiap permohonan tetap tertakluk kepada proses kelulusan, perancangan operasi, kemampuan armada serta kesesuaian pasaran sebelum ia boleh dilaksanakan.

Hal ini bukan semata-mata soal mahu atau tidak mahu, tetapi soal kemampuan melaksanakan sesuatu laluan tanpa menjejaskan tanggungjawab asas kepada kawasan pedalaman.

RAS diwujudkan untuk memastikan kawasan terpencil seperti Bario, Ba’kelalan, Long Seridan dan Long Akah terus mempunyai akses udara walaupun laluan itu tidak menguntungkan secara komersial.

Bagi penduduk di kawasan sedemikian, penerbangan kecil bukan sekadar kemudahan. Ia adalah nadi hubungan dengan hospital, sekolah, pejabat kerajaan dan dunia luar.

Isu pembatalan penerbangan pula tidak boleh dipandang ringan. Pembatalan boleh berlaku atas pelbagai sebab seperti cuaca buruk, kekangan teknikal, jadual kru atau pertimbangan keselamatan.

Maklumat tepat penting

Prinsipnya jelas, keselamatan mesti mengatasi ketepatan masa. Tiada penumpang yang mahu pesawat diterbangkan semata-mata kerana syarikat mahu menjaga jadual.

Namun penumpang juga berhak mendapat maklumat yang cepat dan jelas apabila pembatalan berlaku. Mereka tidak mahu dibiarkan meneka-neka atau menunggu tanpa kepastian. Mereka mahu mengetahui pilihan yang ada, sama ada penerbangan ganti, penjadualan semula atau bayaran balik.

Dalam keadaan tertekan, komunikasi yang kabur boleh memburukkan lagi keadaan. Kadangkala masalah utama bukan pembatalan itu sendiri, tetapi cara syarikat menjelaskan dan menguruskannya.

Proses bayaran balik juga perlu lebih telus dan tidak menyusahkan penumpang untuk menunggu lama. Pada masa sama, penumpang perlu memahami bahawa pembatalan oleh penumpang sendiri dan pembatalan oleh syarikat penerbangan membawa implikasi yang berbeza.

Tanggungjawab untuk menerangkan perbezaan ini pula tidak boleh diletakkan di bahu penumpang. Syarikat penerbangan wajib menjelaskan hak, pilihan dan akibat setiap jenis pembatalan dengan jelas sejak awal.

AirBorneo perlu menyediakan maklumat yang mudah difahami, saluran aduan yang responsif dan garis masa yang jelas. Dalam perkhidmatan yang begitu rapat dengan kehidupan rakyat, rasa dihormati kadangkala sama pentingnya dengan penyelesaian teknikal.

Kini AirBorneo sedang menuju fasa yang lebih besar. Rancangan untuk memulakan operasi jet dari Kuching dijangka pada Julai 2026 menggunakan Boeing 737-800 menunjukkan hasrat untuk memperluas keterhubungan Sarawak ke pasaran yang lebih besar.

Laluan awal seperti Kuching ke Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Kinabalu akan membuka ruang baharu, tetapi pada masa sama membawa tekanan yang lebih berat.

Operasi jet bukan sekadar menambah pesawat yang lebih besar. Ia menuntut penyusunan jadual yang lebih kompleks, pengurusan kru yang lebih ketat, tahap perkhidmatan yang lebih konsisten dan persaingan yang lebih terbuka.

Di laluan seperti Kuching ke Kuala Lumpur, penumpang mempunyai banyak pilihan untuk dibandingkan, sama ada dari segi harga, waktu penerbangan, ketepatan masa, kemudahan tempahan atau layanan pelanggan.

Kebanggaan terhadap jenama Sarawak mungkin membuatkan penumpang mencuba AirBorneo buat pertama kali, tetapi hanya mutu perkhidmatan yang akan membuatkan mereka setia.

AirBorneo lahir daripada harapan rakyat namun rakyat juga perlu memberi ruang yang adil. Hal ini kerana, hakikatnya membina syarikat penerbangan bukan kerja sehari dua. Ia memerlukan disiplin, modal, kepakaran, kesabaran dan kepercayaan.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Tiga negeri berdepan PRN, PRU16 mungkin tahun depan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.