WASHINGTON: Pemain golf Tiger Woods dijadualkan hadir di mahkamah pada Rabu bagi perbicaraan untuk mengubah pengakuan berhubung kemalangan kereta di Florida pada Mac, lapor PA Media/dpa.
Woods, juara 15 kejohanan utama, ditahan selama lapan jam sebelum dibebaskan dengan ikat jamin, selepas Land Rover yang dipandunya terbalik akibat berlanggar dengan sebuah trak pikap yang sedang menunda treler.
Beliau sebelum ini telah mengemukakan pengakuan bertulis tidak bersalah menerusi peguamnya terhadap tuduhan memandu di bawah pengaruh bahan terlarang (DUI), menyebabkan kerosakan harta benda dan keengganan untuk menjalani ujian saringan.
Notis mahkamah menunjukkan beliau kini dijadualkan hadir di Mahkamah Martin County pada pagi Rabu 8.30 pagi (1230 GMT) untuk perbicaraan tersebut; namun, tidak diketahui apakah pengakuan baharu yang akan dibuat oleh Woods atau sama ada beliau telah mencapai persetujuan penyelesaian kes dengan pihak pendakwa raya.
Dalam insiden pada Mac, Woods, yang keluar melalui pintu penumpang, terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Beliau lulus ujian nafas untuk mengesan alkohol namun atlet berusia 50 tahun itu enggan menjalani ujian air kencing bagi mengesan kehadiran dadah.
Ini bukan kali pertama Woods terlibat dalam nahas kenderaan yang dipandunya sendiri.
Beliau menjalani pembedahan kecemasan termasuk 20 prosedur pada kaki susulan kemalangan serius di California pada Februari 2021.
Sebelum itu pada 2017 beliau ditahan kerana disyaki atas kesalahan DUI selepas ditemui tertidur pada tayar keretanya di Jupiter, Florida.
Pada 2009, beliau merempuh paip bomba dan pokok di luar rumahnya dalam insiden yang membawa kepada pembongkaran kehidupan peribadinya. – Bernama-PA Media/dpa




