ATHENS, 22 November: Paolo Bulgari, tokoh industri barang kemas Itali yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan perniagaan keluarganya menjadi jenama mewah bertaraf antarabangsa, meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Menurut laporan Associated Press (AP), keluarga beliau mengumumkan kematiannya semalam sambil menyifatkannya sebagai “tokoh barang kemas terhebat zaman ini” serta mengenang sifat kemanusiaan dan kebijaksanaannya dalam bidang keusahawanan.
Dilahirkan di Rom pada 1937, Bulgari merupakan cucu kepada Sotirios Voulgaris, seorang tukang perak dari Greece yang mengasaskan perniagaan barang kemas keluarga itu selepas berhijrah ke Itali.
Beliau menyertai perniagaan keluarga sejurus tamat persekolahan. Bersama adiknya, Nicola dan anak saudaranya, Francesco Trapani, beliau mengembangkan jenama Bulgari ke pasaran antarabangsa termasuk New York, Paris, Geneva dan Monte Carlo.
Jenama itu terkenal dengan reka bentuk berani, penggunaan batu permata berwarna-warni serta emas kuning, selain menjadi kegemaran selebriti Hollywood seperti Elizabeth Taylor dan Zendaya.
Sejak mengambil alih kepimpinan pada pertengahan 1980-an, Bulgari turut memperluas perniagaan ke bidang jam tangan, minyak wangi, barangan kulit dan sektor perhotelan.
Pada 2011, keluarga Bulgari menjual pegangan majoriti dalam syarikat itu kepada konglomerat barangan mewah Perancis, LVMH, menerusi urus niaga bernilai lebih AS$5 bilion, sekali gus menamatkan penguasaan langsung keluarga berkenaan.
Selain kejayaannya dalam perniagaan, Bulgari dan isterinya menubuhkan Yayasan Paolo Bulgari pada 2019 bagi membantu golongan muda kurang bernasib baik menerusi pendidikan dan latihan pekerjaan.
Upacara pengebumian beliau dijadual berlangsung pada Isnin di Basilika Santa Croce, Rom. – Bernama




