Eksport ramyeon Korea Selatan dijangka hampiri AS$2 bilion tahun ini susulan populariti global

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto Agensi

SEOUL, 22 November: Eksport “ramyeon” atau mi segera Korea Selatan dijangka menghampiri AS$2 bilion tahun ini, didorong peningkatan populariti makanan dan budaya Korea di peringkat global, menurut data industri hari ini, lapor Agensi Berita Yonhap.

Eksport ramyeon meningkat 26.3 peratus kepada AS$1.59 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober, sekali gus melepasi nilai keseluruhan eksport yang dicatatkan sepanjang tahun lepas, iaitu AS$1.52 bilion, menurut data Perbadanan Perdagangan Agro-Perikanan dan Makanan Korea.

Sekiranya trend pertumbuhan itu berterusan sehingga akhir tahun ini, nilai eksport tahunan ramyeon dijangka menghampiri AS$2 bilion.

Eksport ramyeon Korea Selatan mencatatkan peningkatan berterusan sejak 2014.

China merupakan pasaran terbesar bagi ramyeon Korea Selatan dengan nilai eksport mencecah AS$395.5 juta dalam tempoh 10 bulan berkenaan, meningkat 23.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Eksport ke Amerika Syarikat (AS) pula meningkat 29.1 peratus kepada AS$276.5 juta dalam tempoh yang sama.

Eksport ke Eropah serta Amerika Tengah dan Selatan turut mencatatkan pertumbuhan kukuh.

Penghantaran ramyeon ke Belanda melonjak 41.3 peratus kepada AS$95.7 juta, manakala eksport ke Britain meningkat 41.9 peratus kepada AS$60.4 juta.

Eksport ke Mexico pula mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 190.4 peratus kepada AS$51.9 juta. – Bernama