KUCHING: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah mengagihkan sejumlah 7, 844 pek bantuan makanan kering kepada 4, 064 penduduk Kampung Bintawa Tengah dan Ulu setakat 22 Mac.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ia melibatkan sebanyak 3, 780 pek makanan pada minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 4, 064 pek makanan pada minggu kedua PKPD di kampung berkenaan.
“Mengikut laporan yang saya terima, bantuan makanan di kawasan ini memang mencukupi oleh kerana setiap penduduk tanpa mengira golongan akan diberi pek makanan dan ia diagihkan mengikut per individu,” katanya pada sidang media selepas meninjau Bilik Operasi PKPD di sini, semalam.
Beliau turut menasihati penduduk di sini agar akur dengan setiap arahan pihak berkuasa dengan tidak keluar daripada rumah.
“Kita mahu betul-betul ada ‘lockdown’, semua orang mengikut arahan iaitu orang luar tidak sembarangan boleh masuk dan orang dalam kawasan ‘lockdown’ ini tidak boleh keluar sembarangan, sekiranya ada berlaku kecemasan yang itu boleh dipertimbangkan,” ujarnya.
Fatimah memberitahu, tempoh PKPD di kampung ini bergantung kepada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) samada ditamatkan pada 29 Mac atau akan dilanjutkan seminggu lagi.
“Ujian swab untuk kali kedua akan dilakukan pada 25 Mac,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi penduduk yang memerlukan bantuan kesihatan seperti demam, mereka boleh mendapatkan bantuan melalui klinik bergerak yang telah disediakan oleh pihak KKM.
“Warga emas atau mereka yang memerlukan ubat secara berkala seperti ubat kencing manis, darah tinggi dan sebagainya, tidak perlu ke hospital. Mereka boleh maklumkan kepada petugas kesihatan klinik bergerak untuk mendapatkan bekalan ubat mereka,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN