


LAWAS: Seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu operasi di tepi Jalan Punang, di sini, pada 7 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, suspek ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta pada kira-kira 3.35 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan badan ke atas suspek menemukan sebuah kotak rokok yang mengandungi satu keratan tiub straw berisi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah lain,” katanya.
“Suspek ditahan dan dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 0.30 gram turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamine. Semakan rekod lampau pula mendapati suspek mempunyai satu kesalahan berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, dua lagi tangkapan dilakukan dalam operasi berasingan di tepi Jalan Punang pada 3.00 petang hari yang sama.
Sepasukan polis telah menahan sebuah kereta bersama dua lelaki tempatan di dalamnya kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan lanjut terhadap tubuh badan dan kenderaan tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Semakan kesalahan lampau mendapati masing-masing mempunyai satu kesalahan berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus