BIASISWA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan biasiswa kepada tiga pelajar cemerlang daripada Yayasan Sarawak sebagai tanda penghargaan Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.
KUCHING: Tiga pelajar cemerlang menerima biasiswa dari Yayasan Sarawak sebagai tanda penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap usaha gigih mereka berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021.
Biasiswa tersebut disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis ringkas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Salah seorang penerima, Pressely Bangga Kedidi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubong yang mendapat 4.00 Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dalam STPM 2021, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak di atas bantuan biasiswa itu.
“Saya juga turut berterima kasih kepada ibu bapa dan guru mata pelajaran saya atas ilmu serta didikan selama ini agar saya dapat melanjutkan pelajaran saya di beberapa universiti yang saya mohon,” katanya.
Sementara itu, bagi Indra Soekardi, bapa kepada Nur Zahirah juga dari SMK Kubong berharap dengan adanya biasiswa ini memberikan motivasi kepada anaknya untuk terus memperoleh kejayaan yang cemerlang pada masa depan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan ini yang sedikit sebanyak dapat membantu anak saya melanjutkan pelajaran” ujarnya.
Sementara itu, Nasha Izzati Ramlee dari SMK Merapok menzahirkan rasa gembira di atas bantuan biasiswa ini bagi membolehkannya menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan pendidikan.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan ini.
“Saya juga berharap dengan bantuan biasiswa ini membolehkan saya melanjutkan pelajaran saya di UMS dan mencapai impian saya untuk menjadi seorang pendidik suatu hari kelak,”katanya.
Oleh AZREEN KERIA