TABUK, Arab Saudi: Seorang penumpang pesawat flydubai yang terpaksa mengubah laluan dan sepatutnya menuju Tel Aviv mendakwa salah seorang juruterbang cuba menjatuhkan pesawat dan membunuh semua penumpang selepas kedua-dua juruterbang ditemukan cedera ketika pesawat mendarat di Arab Saudi.
Dalam kenyataan rasmi pertama berhubung kejadian itu, Menteri Keselamatan Negara Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir, mendakwa insiden berkenaan merupakan cubaan serangan “pengganas”. Tiada penumpang dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Pesawat flydubai berkenaan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Tabuk, Arab Saudi, pada 9.45 pagi (6.45 pagi GMT), dengan kapten dan pembantu juruterbang ditemukan mengalami kecederaan sebelum dibawa ke hospital, menurut kenyataan pengendali lapangan terbang berkenaan.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu sebelum ini memaklumkan penerbangan FZ 1073 “mengalami insiden ketika dalam perjalanan”, namun pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Tabuk (TUU) dan semua penumpang berada dalam keadaan selamat serta dikenal pasti.

Menurut data laman sesawang Flightradar, pesawat berkenaan tiba-tiba kehilangan altitud ketika penerbangan, daripada hampir 34,000 kaki pada 5.21 pagi GMT kepada kurang 17,000 kaki seminit kemudian.
Penumpang, Miryam Shira Ohayon, berkata pesawat itu “hampir tidak dapat dikawal” apabila salah seorang juruterbang cuba menikam seorang lagi ketika mereka berada di ruang udara Jordan dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv.
“Jadi, pembantu juruterbang cuba membunuh juruterbang dan pada dasarnya melakukan serangan bunuh diri menggunakan pesawat itu,” katanya kepada pemberita melalui telefon pembesar suara yang dipegang ibunya ketika menunggu di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv.
“Pesawat itu benar-benar hampir terhempas dan tindakan pantas beberapa orang yang mengambil alih kawalan terhadap pembantu juruterbang serta menahannya berjaya mengelakkan perkara itu,” katanya.
“Turut berada di situ seorang doktor yang memberikan pertolongan cemas, manakala beberapa penumpang merawat kedua-dua mereka. Selain juruterbang, tiada kecederaan dilaporkan, namun kebimbangan utama ketika itu ialah pesawat akan terhempas kerana itulah yang cuba dilakukannya.”
Beberapa media Israel melaporkan berlaku pergaduhan antara kedua-dua juruterbang yang dipercayai menyebabkan isyarat kecemasan diaktifkan.
Media Israel turut melaporkan bahawa dua lagi juruterbang berada dalam pesawat sebagai penumpang dan mengambil alih kawalan pesawat bagi melakukan pendaratan kecemasan di Arab Saudi.
Di Lapangan Terbang Ben Gurion, keluarga berkumpul bagi menunggu kepulangan anggota keluarga mereka.
Sebelum itu, ibu Ohayon, Yasmin Abukasis, memberitahu AFP bahawa anaknya menghubunginya dari Arab Saudi.
“Dia berkata seorang juruterbang cuba membunuh seorang lagi juruterbang dengan pisau. Mereka mendengar jeritan,” katanya.
Seorang lagi penumpang pergi ke kokpit dan “melihat banyak darah. Dia mula menjerit ‘datang bantu’ dan beberapa orang masuk lalu menangkap lelaki itu”, katanya.
Pesawat “menjunam dengan sangat pantas”
“Pada masa yang sama, pesawat mula menjunam dengan sangat pantas. Orang ramai menyangka mereka akan mati.”
Beliau berkata dua lagi juruterbang yang berada di bahagian belakang pesawat kemudian mengambil alih kawalan.
Syarikat penerbangan dan pihak berkuasa negara yang terlibat tidak memberikan butiran mengenai apa yang berlaku di dalam pesawat atau kewarganegaraan kedua-dua juruterbang. Bagaimanapun, beberapa media Israel melaporkan seorang daripada mereka warga Oman dan seorang lagi warga Emiriah Arab Bersatu.
Penyiar awam Israel, Kan, dan Channel 12 melaporkan tentera Israel mengerahkan jet pejuang selepas timbul kebimbangan mengenai kemungkinan pesawat itu dirampas.
Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata perdana menteri itu telah mengadakan rundingan berhubung perkara berkenaan dan “memantau perkembangan”.
Ketika dihubungi AFP, tentera Israel berkata pihaknya sedang “memeriksa” laporan berkenaan.
Meir Zohar, bapa kepada penumpang Ido Zohar, memberitahu AFP bahawa anaknya memaklumkan melalui pesanan teks bahawa dia selamat, namun tidak memberikan maklumat lanjut.
“Kami mendengar berita mengenai apa yang berlaku di ruang udara Abu Dhabi,” katanya.
“Dia memberitahu kami semuanya baik-baik sahaja, tetapi tidak banyak yang diceritakannya.”
Baju-T berlumuran darah
Media Israel, yang memetik sumber tanpa nama, melaporkan penumpang campur tangan bagi meleraikan pergaduhan antara kedua-dua juruterbang, selain menyiarkan gambar seorang penumpang yang memakai baju-T berlumuran darah.
Channel 12 melaporkan pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada salah seorang juruterbang cuba membunuh diri dengan menjatuhkan pesawat, sebelum seorang lagi juruterbang dipercayai campur tangan bagi menghalang pesawat daripada terhempas
Wartawan AFP di Tabuk, lokasi pesawat itu mendarat, melihat kawalan keselamatan diperketatkan berhampiran lapangan terbang dengan beberapa kenderaan polis dan sebuah ambulans ditempatkan di terminal.
Akses ke terminal bagaimanapun kekal dibuka.
Dalam beberapa foto yang dihantar kepada AFP oleh salah seorang penumpang, kelihatan penumpang termasuk kanak-kanak berkumpul di ruang menunggu lapangan terbang. Sebahagian daripada mereka duduk di atas lantai, manakala seorang lelaki memakai baju-T putih dan seluar jeans yang berlumuran darah.- AFP




