


LAWAS: Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan mengesahkan penahanan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah serta satu kes berkaitan perjudian dalam beberapa operasi berasingan.
Beliau berkata, dalam kejadian pertama pada Jumaat lepas di Jalan Lawas–Damit, sepasukan polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh ketika menunggang motosikal kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Hasil pemeriksaan badan dan motosikal tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Namun, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian berasingan pada Ahad lalu sekitar 10.30 pagi di bandar ini, seorang lelaki berusia 44 tahun turut ditahan atas kesalahan sama.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Suspek juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau. Kes disiasat di bawah seksyen sama,” katanya.
DSP Liong berkata, dalam kejadian ketiga pada petang hari yang sama di bandar ini, seorang lelaki berusia 26 tahun turut ditahan selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Ujian air kencing mendapati suspek juga positif amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai dua rekod kesalahan lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” jelasnya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada Sabtu lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian empat nombor ekor.
“Hasil pemeriksaan telefon bimbit mendapati terdapat aplikasi judi, selain turut merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau menambah, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Oleh Adeng Edrus